BADAN pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan pemeriksaan sebagai sebahagian badan pengesahan bebas berhubung dakwaan Russia mengenai penghasilan “bom kotor” di Ukraine.
Bom kotor ialah bom konvensional diikat dengan bahan radioaktif, biologi atau kimia yang boleh tersebar ketika letupan.
Ketua Pengarah Pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi menjangkakan siasatan bagi mengesahkan beberapa aktiviti di dua lokasi itu akan diselesaikan tidak lama lagi.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menerbitkan kesimpulan awal mengenai pengesahan terkini membabitkan beberapa aktiviti di dua lokasi berkenaan.
Pemeriksaan itu dibuat susulan permintaan bertulis Kerajaan Ukraine yang mahu pasukan IAEA di hantar ke sana.
Russia mendakwa Ukraine bersedia menggunakan bom kotor terhadap tentera Moscow.
Sebaliknya, Kyiv berkata Russia mungkin menggunakan isu bom kotor untuk dijadikan alasan bagi mewajarkan penggunaan senjata nuklear konvensional oleh Moscow, yang dikatakan mendalangi serangan di timur dan selatan Ukraine.
IAEA minggu lalu berkata sudah memeriksa salah satu lokasi itu sebulan lalu dan tiada aktiviti atau bahan nuklear tidak diisytiharkan ditemui di sana.
Presiden Russia Vladimir Putin Khamis lalu menggesa IAEA segera memeriksa tapak nuklear Ukraine.
IAEA dalam kenyataan semalam turut menggesa pembebasan seorang pekerja loji kuasa nuklear Zaporizhzhia yang ditahan kira-kira dua minggu lalu.
Loji yang juga kemudahan atom terbesar di Eropah itu ditawan tentera Russia ketika awal peperangan Mac lalu. – AFP, 1 November, 2022.
Komen