Tragedi Itaewon, Korea Selatan tawar bantuan kepada warga asing


Sebuah lorong di Itaewon kelihatan sunyi selepas kawasan itu ditutup susulan insiden rempuhan menyebabkan lebih 150 maut pada sambutan Halloween baru-baru ini. – Gambar EPA, 1 November, 2022.

KOREA Selatan sedang mengkaji kaedah bantuan yang setara kepada keluarga mangsa warga asing susulan rempuhan orang ramai pada hujung minggu di Itaewon, Seoul, seperti yang diterima mangsa rakyat tempatan, kata Menteri Luar Pak Jin.

Sekurang-kurangnya 154 termasuk 26 warga asing terbunuh ketika ribuan orang ramai berkumpul di daerah hiburan malam popular pada Sabtu malam untuk menyambut Halloween. Lebih sedozen warga asing turut cedera.

“Kami sedang mengkaji kaedah untuk membantu mangsa warga asing sama seperti warga Korea Selatan,” agensi berita Yonhap memetik Park pada sidang parlimen.

Di bawah undang-undang negara mengenai tindak balas dan keselamatan bencana, warga tempatan dan warga asing sama-sama layak mendapat skim sokongan yang disediakan di kawasan yang ditetapkan sebagai zon bencana khas.

Pada Ahad, Yongsan Ward di Itaewon, Seoul ditetapkan sebagai zon bencana khas susulan insiden terburuk dalam sejarah moden negara itu.

Beliau berkata kementerian berkenaan akan mengambil langkah perlu untuk membantu keluarga mangsa seperti penerbangan pulang ke tanah air menerusi rundingan dengan kedutaan Korea Selatan di negara masing-masing.

Terdahulu, Park mengunjungi altar perkabungan yang didirikan di Plaza Seoul di hadapan Dewan Bandaraya untuk memberi penghormatan kepada mangsa.

Seramai 26 warga asing maut dalam kejadian itu, terdiri lima warga Iran, masing-masing empat dari China dan Rusia, masing-masing dua dari Amerika Syarikat dan Jepun, dan masing-masing seorang dari Perancis, Australia, Norway, Austria, Vietnam, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan dan Sri Lanka.

Seorang warga asing kini dirawat di hospital manakala 14 lagi yang cedera sudah pulang ke rumah, menurut menteri itu. – Bernama, 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen