PRU15 makin dekat tapi masih banyak belum pasti dalam MIC


K. Kabilan Vasudevan Vamadevan

Satu-satunya kerusi yang diyakini akan kekal ditandingi MIC pada PRU15 adalah kerusi Parlimen Tapah, yang disandang timbalan presidennya M Saravanan sejak 2008, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

MIC berdepan banyak ketidakpastian menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini, kata orang dalam parti itu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight parti komponen Barisan Nasional (BN) itu masih tidak tahu berapa ramai calon yang akan bertanding, apatah lagi yang boleh menang.

Satu-satunya kerusi yang “diyakini” akan kekal ditandingi MIC adalah kerusi Parlimen Tapah, yang disandang timbalan presidennya M Saravanan sejak 2008.

Jika Saravanan bertanding di Tapah, beliau akan bertembung Naib Presiden PKR K Saraswathy, calon dari Pakatan Harapan (PH).

Walaupun hanya memperoleh majoriti tipis 614 undi pada PRU14 lalu, kem Saravanan yakin beliau akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu.

Menurut sumber lagi, MIC juga tidak pasti sama ada akan meletakkan calon di kerusi tradisinya yang lain, atau menyerahkannya kepada parti mesra BN seperti Makkal Sakti yang sejak bertahun lalu memohon untuk menjadi salah satu parti komponen gabungan itu.

MIC terpaksa melepaskan kerusi tradisinya, Cameron Highlands kepada Umno pada pilihan raya kecil Januari 2019 selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan calon dari parti itu Sivarraajh Chandran pada PRU14 terbatal dan tidak sah kerana membeli undi.

Pada PRK Cameron Highlands itu, Umno mencalonkan Ramli Mohd Nor, pesara pegawai kanan polis daripada suku Orang Asli Semai. Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi.

Umno dikatakan enggan menyerahkan semula kerusi Cameron Highlands kepada MIC, sebaliknya memberi kerusi Teluk Intan yang didominasi pengundi Melayu-Cina.

Sumber dalam MIC memberitahu The Malaysian Insight parti itu akan meletakkan calon di Tapah, Sungai Siput, Hulu Selangor, Padang Serai, Sungai Buloh, Port Dickson, Segamat, Teluk Intan dan Kapar.

Sumber juga menyebut kedudukan Presiden MIC S A Vigneswaran adalah pertaruhan selamat di Sungai Siput, manakala Saravanan akan mempertahankan Tapah untuk kali ketiga.

Buat masa ini nama-nama yang disebut-sebut akan dicalonkan adalah Naib Presiden MIC T Mohan (Hulu Selangor), bekas ketua Pemuda MIC Sivarraajh (Padang Serai), ketua Pemuda Selangor Punithan (Sungai Buloh), bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan (Port Dickson), bendahari parti M Ramasamy (Segamat),naib presiden T Murugiah (Teluk Intan) dan ketua Wanita Mohana Muniandy (Kapar).

Kerusi Parlimen Sungai Buloh berkemungkinan akan dilepaskan kepada Khairy Jamaluddin, bermakna hanya lapan kerusi yang tinggal untuk MIC, tambah sumber.

“Ada cadangan supaya BN beri kerusi Batu kepada MIC, tetapi kami tak tahu sama ada jika rancangan ini akan berjaya. Kami memang ada calon untuk dipertimbangkan diletak di Batu,” kata seorang pemimpin dari Kuala Lumpur.

MIC selain itu juga berdepan masalah di Segamat. Kerusi yang asalnya diperuntukkan kepada Penyelaras Parlimen Segamat M Asojan yang juga naib presiden MIC akan diberi kepada calon payung terjun M Ramasamy dari Perak. – 1 November, 2022.   

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen