Drama pengumuman calon Muda


Noor Azam Shairi

Suasana ibu pejabat parti Muda di Petaling Jaya yang dipenuhi penyokong dan ahli parti ketika ia mengumumkan calonnya bagi PRU15 pada Sabtu malam lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober 2022.

SEBUAH banglo dua tingkat di tepi jalan di Petaling Jaya pada Sabtu malam kelmarin dipenuhi lebih 50 anak muda, kebanyakannya memakai baju T hitam bertulis “Muda”.

Di balkoni di tingkat atasnya tergantung dua bendera Malaysia; pada pagar di kelilingnya dipasang berpuluh-puluh bendera parti itu. Bendera hitam dengan perkataan “Muda” terpacak di keliling banglo itu, yang juga diberi nama “Rumah Hitam”.

Banglo yang menjadi ibu pejabat parti Muda itu tidak boleh dibandingkan dengan ibu pejabat parti-parti politik lain, yang duduknya di menara tinggi atau bangunan pejabat dan punya ruang lantai yang jauh lebih luas.

Buka keluasan tanahnya lebih kurang 5,000 kaki persegi dan luas lantai kira-kira 3,000 kaki persegi.

Di ibu pejabat Muda pada malam itu, di ruang utama di lantai bawah, untuk menampung hampir 20 wartawan dan jurugambar pun sudah cukup sesak. Sempit, panas, dan berkuap. Sebahagian wartawan pula berdiri kerana tiada kerusi.

Seorang petugas parti berulang kali meminta maaf kepada wartawan kerana keadaan yang agak tidak selesa itu.

Sebelum sidang media bermula, dia merayu kepada ahli-ahli parti yang hadir supaya memberi keutamaan kepada wartawan yang bertugas untuk masuk dan berada di ruang dalam banglo sementara mereka pula mengikuti sidang media dari laman di luar.

Biarpun dalam keadaan serba kurang itu, semangat Muda, yang diluluskan pendaftarannya pada Disember 2021, tidak sedikit pun luntur. Malah, boleh dianggap luar biasa.

“Muda akan bertanding melawan gergasi pada pilihan raya ini,” kata Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.

Dalam kalangan ahli dan pimpinan Muda, mereka bangga menyebut Amira sebagai satu-satunya wanita yang jadi pengarah pilihan raya, bukan saja untuk Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

“Saya dengan bangga dan berbesar hati ingin menyebut semua kerusi yang Muda akan tandingi, tidak ada satu pun kerusi bandar, tidak ada satu pun kerusi yang mudah,” tambahnya, yang juga timbalan presiden parti.

Muda menamakan seorang jurutera berumur 26 tahun Daniel Abdul Majeed, anak jati Pulau Pinang, bertanding di Kepala Batas.

Aktivis pendidikan Siti Rahayu Baharin, 41, yang giat berusaha menyelamatkan golongan terpinggir di Chow Kit, Kuala Lumpur akan bertanding di Tanjong Karang. Peguam Lim Wei Jiet, 31, membawa panji-panji Muda di Tanjong Piai.

Semua ini kerusi yang susah. Barisan Nasional (BN) tidak pernah kalah di Kepala Batas dan Tanjong Karang sejak 1974.

Kedua-duanya kerusi super majoriti Melayu iaitu mempunyai pengundi Melayu lebih 75%. Kedua-dua penyandangnya menteri. Reezal Merican Naina Merican mewakili Kepala Batas dua penggal sejak 2013 manakala Noh Omar mewakili Tanjong Karang enam penggal sejak 1995.

Tanjung Piai juga kerusi tradisi BN yang diwakili MCA sejak mula dipertandingkan pada 2004. Masuk pilihan raya kali keempat, kerusi itu terlepas pada 2018 kepada calon Bersatu atas tiket Pakatan Harapan.

Bagaimanapun MCA dan BN merampasnya semula melalui pilihan raya kecil pada November 2019. Penyandangnya timbalan menteri Wee Jeck Seng, yang juga wakil rakyat di situ pada penggal 2008 dan 2013.

Sama ada menteri atau bekas timbalan menteri yang sama akan dicalonkan semula, kita belum tahu. Sehingga parti penyandang iaitu BN mengesahkan calonnya, ada banyak spekulasi mengenai siapa bertanding di kerusi itu.

Jadi, belum sahih lagi kalau Muda menganggap ia akan melawan menteri. 

Melaungkan “Muda lawan menteri” ketika belum sah dan ada hitam putih siapa calon lawannya hanyalah satu gimik – yang cukup menarik dan memikat untuk jadi berita, atau sekerat dua posting di media sosial.

Hampir belum ada media yang menulis berita yang tajuknya menjerit begitu, kerana memang belum tahu dengan sah Muda lawan siapa.

Media sosial

Tetapi Muda bijak mencipta penceritaan dan pencitraan, terutama di media sosial. Sebagai parti yang cukup kuat suaranya di media sosial, Muda hidup dan berlawan di media sosial. Hendak dibunuh pun juga di media sosial.

Tidak sampai dua jam selepas pengumuman calonnya pada Sabtu malam, orang membongkar segala macam yang pernah ditulis oleh seorang calonnya di Twitter dan Facebook terutama pegangan politik lamanya iaitu Umno.

Calon itu akhirnya memadamkan akaun Twitter lamanya, buka akaun baharu. Penuh drama.

Tidak sampai 24 jam selepas itu juga, Ketua Muda Perak Mutalib Uthman mengumumkan di Facebook beliau akan bertanding di Tapah.

Pengumuman itu dinafikan oleh Ketua Penerangan Muda Luqman Long manakala Mutalib memadam posting asalnya. 

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga menafikan pengumuman itu. Katanya, agihan kerusi hasil kerjasama Pakatan Harapan dan Muda hanya diumum pada Selasa.

Presiden Muda  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama calon parti yang akan bertanding pada PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober 2022.

“Saya harap pimpinan semua parti lebih matang dan menghormati proses, bukannya main umum di Facebook,” kata Rafizi.

Ketika itu, semua tahu ada tiga kerusi yang calonnya tidak jadi diumum oleh PKR pada Jumaat, ketika majlis pengumuman dibuat di Ampang.

Setidak-tidaknya seorang bakal calon datang ke padang pada malam itu, siap pakai baju Melayu warna pirus – warna rasmi PKR. Ditempatkan duduk sebaris dengan bakal calon lain, tapi nama tak dipanggil naik ke pentas.

Petang semalam, tidak lama selepas pemimpin Muda mengumumkan bertanding Tapah, Presiden PKR Anwar Ibrahim menutup teka teki.

Perkara sudah dibincang dan diputuskan, katanya. Tapah kekal akan ditandingi oleh PKR, begitu juga Sungai Siput dan Sembrong.

Beberapa jam kemudian, Mutalib meminta maaf tersilap mengumumkan Tapah. Beliau membayangkan pengumumannya hanya tersilap kerusi. 

“Saya akan bertanding di dalam PRU15 kali ini. Bagaimanapun, kerusi tersebut bukanlah di Parlimen Tapah.

“Saya akan bertanding di kerusi luar bandar dan kerusi milik menteri yang lain. 

“Ini selaras dengan perjuangan Muda dalam PRU15 ini, bertanding di kerusi luar bandar dan ‘Muda lawan Menteri’,” katanya.

Kerusi mana lagi?

Persoalannya, kerusi mana?

Selepas tiga parti dalam PH selesai mengumumkan kerusi yang akan mereka tandingi, ada satu kerusi yang disandang menteri yang sampai sekarang tidak tahu siapa akan bertanding – Masjid Tanah.

Masjid Tanah, kerusi super majoriti Melayu dengan pengundi Melayu lebih 80%. Penyandangnya Mas Ermiyatie Samsudin mewakili kawasan itu sejak 2013 atas tiket Umno. Selepas menang sekali lagi pada 2018, beliau keluar parti dan masuk Bersatu. 

Sementara itu, Muda hari ini mengumumkan satu lagi kerusi “lawan menteri” yang akan ditandinginya iaitu Kota Marudu di Sabah.

Kerusi ini belum tentu dipertahankan oleh Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Maximus Ongkili biarpun menyandangnya empat penggal sejak 2004.

Menteri itu dilapor mengintai untuk menyerang Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau yang empat penggal jadi wakil rakyat Tuaran.

Semua ini masih spekulasi – seperti desas-desus Noh mungkin tidak dicalonkan semula di Tanjong Karang.

Noh yang juga ketua Umno Selangor baru-baru ini menyerahkan senarai bakal calon untuk disahkan oleh pimpinan tertinggi BN.

Kata Noh, daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, hanya dia seorang calon lama – yang lain calon muka baru.

Langkah Noh itu tidak disenangi banyak pemimpin Umno negeri, kata sumber. “Macam mana nak gugur calon lain kalau Noh yang enam penggal pun masih tanding? Noh pun patut gugur sekali, tak adalah ketua-ketua bahagian Umno lain bising,” kata sumber Umno Selangor.

BN dijadual mengumumkan senarai calonnya mengikut negeri, esok. Sehingga BN mengumumkan senarai calon, belum tahu lagi Muda lawan menteri atau tidak. 

Kalau nanti tiada menteri bertanding di mana-mana kerusi yang Muda sudah namakan calonnya, mereka tidak bertanding itu bukanlah kerana Muda sudah lebih awal umum calonnya. 

Jangan pula nanti muncul cerita kononnya menteri lari. Itu lain pula dramanya nanti.

Cerita dan drama ini belum habis. Kedudukan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada bertanding atau tidak di Muar akan diumumkan lusa.

Kedudukannya dibincang semula selepas mahkamah memerintah beliau membela diri atas empat tuduhan jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Kita tunggu saja. – 31 Oktober 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen