Mahkamah tolak saman fitnah Sultanah Terengganu terhadap editor Sarawak Report


Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah memfailakn saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam buku 'The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah RM100 juta difailkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

Saman berhubung kenyataan dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Mahkamah turut memerintahkan Sultanah Nur Zahirah membayar kos RM80,000 kepada Rewcastle Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Kien How @ Johan Abdullah ketika membacakan keputusan berkata kenyataan dalam buku tersebut bukan fitnah.

“Pada pendapat saya, reputasi plaintif tidak terjejas,” katanya semasa prosiding dalam talian petang ini.

Kenyataan dalam buku itu berbunyi: “(Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) juga baik dengan pemain utama di Terengganu, isteri sultan, yang persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu dan baginda kemudiannya mengatakan sokongannya penting untuk beliau mendapat jawatan penasihat.”

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu Jho Low menjadi penasihat TIA.

Ketika membacakan keputusannya, pesuruhjaya kehakiman berkata kenyataan yang dipersoalkan itu bukan fitnah kerana defendan hanya mengandaikan bahawa Sultanah Nur Zahirah memperkenan atau bersetuju dengan penubuhan TIA, dan Low mendakwa beliau baginda menyokongnya sebagai penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah diwakili peguam A Vishnu Kumar, Mohd Haziq Pillay, dan Mohd Hilmi Sarbini, manakala peguam Americk Sidhu mewakili ketiga-tiga defendan.

Baginda memfailkan saman pada 21 November 2018. – 31 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen