Tindakan bersama, isu Palestin antara agenda Sidang Kemuncak Liga Arab ke-31


Sidang Kemuncak Liga Arab ke-31yang dihoskan Algeria pada 1 dan 2 November ini antara lain akan membincangkan isu Palestin. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2022.

PENGUKUHAN tindakan bersama Arab untuk menghadapi cabaran semasa serantau dan antarabangsa, isu Palestin, jaminan makanan dan kerjasama politik dan ekonomi adalah antara agenda penting yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Liga Arab ke-31, yang dihoskan Algeria pada 1 dan 2 November ini.

Dalam temu bual dengan Bernama Duta Algeria ke Malaysia Saad Maandi berkata sidang kemuncak di Algiers yang dipengerusikan Presiden Abdelmadjid Tebboune, berlangsung serentak dengan sambutan ulang tahun ke-68 Perang Kemerdekaan Algeria menentang Perancis.

Beliau berkata Algeria menetapkan syarat ideal supaya sidang kemuncak Arab itu berjaya dan menjadi perhimpunan penting untuk mengatasi cabaran bersama serta memenuhi aspirasi dan harapan Arab.

“Kami bercita-cita untuk menjadikan acara ini sebagai langkah penting dalam tindakan bersama Arab, untuk sumbangan berkesan dunia Arab bagi menghadapi cabaran semasa di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya kerjasama politik dan ekonomi,” kata duta Algeria itu.

Maandi berkata untuk persediaan acara besar ini, Algeria meneruskan usahanya memperkukuh perpaduan nasional antara puak Palestin berdasarkan inisiatif perdamaian dilancarkan Algeria yang dimuktamadkan pada 13 Oktober, dengan menandatangani “Deklarasi Algiers” oleh 14 puak Palestin termasuk Fatah dan Hamas, pemimpin dan wakil puak Palestin.

Beliau berkata Presiden Tebboune menyifatkan pemeteraian Deklarasi perpaduan nasional Palestin sebagai hari bersejarah, sementara menunggu penubuhan Negara Palestin merdeka dengan al-Quds sebagai ibu negara. 

“Beliau menyuarakan hasratnya untuk melihat penubuhan Negara Palestin yang merdeka atas haknya sendiri berdasarkan sempadan 67 Jun dengan al-Quds sebagai ibu kotanya,” kata Maandi.

Maandi berkata Setiausaha Agung Liga Arab Ahmad Aboul Gheit menyambut baik penandatanganan Deklarasi Algiers oleh puak Palestin dan memuji peranan penting dimainkan Algeria dalam mencapai perjanjian sedemikian.

Beliau juga menekankan bahawa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres juga menerima baik pemeteraian Deklarasi itu dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah perdamaian antara Palestin.

Maandi berkata Guterres menggalakkan semua puak untuk mengatasi perbezaan mereka melalui dialog dan menggesa mereka membuat susulan terhadap komitmen dalam Deklarasi itu.

“Guterres sangat menghargai usaha oleh Algeria terutama Presiden Tebboune,” kata duta itu.

Maandi juga berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengalu-alukan pemeteraian Deklarasi itu memandangkan ini adalah langkah penting dan positif dalam usaha menamatkan perpecahan dan memulihkan perpaduan nasional rakyat Palestin.

“Penyelesaian isu Palestin kekal sebagai asas untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan di rantau Timur Tengah, memupuk hak rakyat Palestin yang bersaudara untuk menubuhkan negara merdeka mereka,” kata Maandi.

Maandi berkata Menteri Luar Algeria Ramtane Lamamra turut menekankan bahawa apa yang telah dicapai untuk perdamaian Palestin di Algeria akan memberi kesan positif terhadap kerja sidang kemuncak Arab di Algeria.

Beliau berkata menteri Lamamra juga bercakap mengenai reformasi Liga Arab dan menggariskan bahawa “Liga Arab telah mendengar laporan kumpulan kerja mengenai lima fasal untuk pembaharuan Liga termasuk masyarakat sivil untuk memberikan dorongan baharu kepada tindakan bersama Arab”.

Maandi berkata Lamamra menyifatkan Deklarasi Algiers sebagai “petanda baik” dan ‘’mesej yang jelas’’ untuk penyatuan barisan Arab seperti rakyat Palestin.

Presiden Tebboune juga mempelawa Pengerusi Kesatuan Afrika dan Presiden Senegal, Macky Sall, Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Setiausaha Agung OIC Hussein Ibrahim Taha untuk menghadiri sidang kemuncak Arab.

Liga Arab, sebuah organisasi seluruh Arab, ditubuhkan pada 22 Mac 1945, di Kaherah, Mesir.

Anggota Liga Arab terdiri Algeria, Bahrain, Comoros, Djibouti, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Mauritania, Maghribi, Oman, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Sudan, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman. Keahlian Syria telah digantung pada 2011.

Algeria juga menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Arab 1973 dan 2005. – Bernama, 31 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen