Lula ikrar tadbir semula Brazil yang bersatu


Menurut data dikeluarkan Tribunal Pilihan Raya, Luiz Inacio Lula da Silva memperoleh 59.8 juta undi (50.86%) mengatasi penyandang Presiden Jair Bolsonaro dari Parti Liberal (PL) dengan 57.8 juta undi (49.145). – Gambar EPA, 31 Oktober 2022.

LUIZ Inacio Lula da Silva pada Ahad berikrar untuk mentadbir Brazil yang bersatu padu selepas menewaskan penyandangnya Jair Bolsonaro dalam pusingan kedua pilihan raya presiden pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Menurut data dikeluarkan Tribunal Pilihan Raya, Lula memperoleh 59.8 juta undi (50.86%) mengatasi penyandang Presiden Jair Bolsonaro dari Parti Liberal (PL) dengan 57.8 juta undi (49.145).

Pilihan raya itu disifatkan sebagai pemilihan paling sengit dan pilihan raya penting sejak Brazil kembali kepada sistem demokrasi.

Lula menyeru rakyatnya bersatu dan berikrar memerangi kelaparan serta melaksanakan tindakan tegas menentang penebangan hutan di Amazon.

“Rakan-rakan saya. Mulai 1 Jan 2023, saya akan mentadbir 215 juta rakyat Brazil dan bukan hanya untuk mereka yang mengundi saya. Tidak ada dua Brazil. Kita adalah satu negara, satu rakyat, negara yang hebat,” katanya ketika berucap kepada penyokongnya di Sao Paulo.

Lula juga mengakui Brazil “berdepan situasi sukar” dan menegaskan sudah tiba masanya semua pihak menjauhi kebencian.

“Kita akan cari jalan keluar supaya negara ini dapat hidup secara demokrasi dan harmoni semula.

“Tiada siapa yang berminat untuk tinggal di negara yang berpecah belah,dan perbalahan yang berterusan,” katanya.

Lula menyifatkan perjuangan menentang kelaparan sebagai “komitmennya yang paling mendesak” selepas Brazil kembali tersenarai dalam Hunger Map Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas lapan tahun, dengan 33 juta rakyatnya berdepan kelaparan.

“Andai kita pengeluar makanan ketiga terbesar di dunia dan pengeluar terbesar sumber protein, andai kita mempunyai teknologi dan keluasan tanah pertanian, andai kita dapat mengeksport ke seluruh dunia, kita mempunyai kewajipan untuk memastikan setiap warga Brazil dapat menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam setiap hari,” katanya.

Program kebajikan Bolsa Familia yang terkenal ketika Lula menjadi presiden sebelum ini dilihat mampu membantu mengurangkan kemiskinan tegar dan memacu peluang ekonomi semasa.

Lula turut berjanji untuk mengurangkan penebangan hutan di Amazon sebanyak 80% dan “memperjuangkan penebangan hutan sifar”. – Bernama, 31 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen