Adakah Anwar akan bekerjasama dengan Zahid?


MUTAKHIR ini Anwar Ibrahim lebih banyak menyerang Dr Mahathir Mohamad seolah-olah Dr Mahathir musuh baginya berbanding Ahmad Zahid Hamidi dan Umno regim kleptokrat. 

Begitu juga di sebelah Zahid, beliau langsung tidak bersuara apabila Anwar mengumumkan akan bertanding di Perak, seolah-olah beliau mengalu-alukan kehadiran Anwar sebagai parti yang sealiran dengan Umno. 

Seperti PKR, Umno dilihat lebih mengasak Perikatan Nasional (PN) dan Dr Mahathir melebihi serangan mereka kepada Pakatan Harapan (PH).

Gambaran ini sudah tersebar dalam kalangan rakyat sejak berminggu-minggu. Baik Anwar atau Zahid, kedua-duanya tidak pernah secara tegas menyentuh atau menafikan cakap-cakap orang ramai itu. 

Dalam percaturan ini, jika Umno berjaya menjadi kerajaan, Anwar dan PKR tidak akan rugi apa-apa kerana mereka lebih rela Barisan Nasional (BN) menang daripada melihat Dr Mahathir menang dan kembali menjadi perdana menteri. 

Begitu juga dengan Zahid dan Umno, mereka lebih rela jika Anwar menjadi perdana menteri yang mana ia tak akan merugikan BN berbanding membiarkan Dr Mahathir menang. 

Jika modus operandi ini berjaya, PH dan Umno boleh bergabung dan menjadi kerajaan pada 19 November ini.

Jika Amanah enggan, mereka boleh disingkirkan daripada gabungan ini. Buktinya, kerusi DUN Changkat Jong dan kerusi Parlimen Jerai diberikan kepada DAP. 

Dalam konteks ini, peranan parti Amanah tak sepenting DAP kerana DAP boleh memberi kerusi bukan Melayu yang cukup jika gabungan Anwar dan Zahid ini berjaya. 

Buktinya, pimpinan DAP awal-awal lagi telah memberi gambaran yang mereka sedia bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan jika keadaan memerlukan. 

Dalam langkah ini, Umno (BN) dan PKR (PH) jelas sekali mahu mengelak dari bekerjasama dengan Dr Mahathir dan GTA atau PN.

Matlamat melawan kleptokrat telah hilang. 

Umno pastinya menolak Dr Mahathir kerana beliau tidak akan membiarkan perasuah bebas, ini akan merugikan Umno.

Begitu juga dengan PN, kerjasama Umno dengan Bersatu (PN) akan merugikan Umno kerana ramai Ahli Parlimen Umno melompat ke parti Bersatu. 

Manakala PKR pula, mereka enggan bekerjasama dengan Dr Mahathir kerana mereka bimbang peluang Anwar menjadi perdana menteri akan terlepas. 

Kerja-kerja gelap ini sedang berjalan. Siapa yang akan jadi mangsa, siapa yang akan mendapat laba? – 31 Oktober 2022.

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen