Amanah gugur 4 penyandang, tanding 54 kerusi


Antara calon yang bakal menjadi taruhan Amanah pada PRU15 kali ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Oktober, 2022.

EMPAT penyandang kerusi Parlimen Amanah tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menurut pengumuman parti tersebut petang ini.

Pengguguran itu melibatkan Hanipa Maidin di Sepang, Anuar Tahir di Temerloh, Hasanuddin Mohd Yunus di Hulu Langat dan Hasan Bahrom di Tampin.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pengguguran penyandang tersebut bukan kerana mereka tidak berprestasi baik.

“Ia hanya satu proses peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku dalam Amanah di mana kita menginginkan muka baharu diberikan peluang,” katanya pada sidang media tersebut.

Amanah juga mengesahkan Khalid berpindah dari Shah Alam ke Titiwangsa dan kerusi yang disandangnya itu akan ditandingi oleh calon baharu Azli Yusof.

Presidennya Mohamad Sabu pula akan mempertahankan kerusi Kota Raja yang dimenangi dengan majoriti 71,142 undi dalam PRU14 dan Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub akan mempertahankan kerusi Pulai. 

Turut diumumkan sebagai calon ialah dua Naib Presiden iaitu Mahfuz Omar dan Mujahid Yusof Rawa masing-masing mempertahankan Parlimen Pokok Sena dan Parlimen Parit Buntar.

Sementara bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari akan bertanding di Alor Gajah, kerusi baharu untuk parti itu susulan pertukaran kerusi dengan DAP di Jerai, Kedah.

Pertukaran ini juga yang menyebabkan kekecohan pada Amanah Kedah hingga menyebabkan parti itu memecat Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi hari ini.

Dalam pada itu pengumuman hari ini juga menyaksikan Dr Dzulkefly Ahmad penyandang Parlimen Kuala Selangor kembali dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU kali ini.

Sebelum ini beliau pernah menyatakan hasrat untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu pada PRU15.

Selain itu, dijangka bakal berlaku pertembungan wanita di kerusi Sepang antara Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah dengan Ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun serta Che Asmah Ibrahim dari Pejuang.

Antara kerusi baharu diperuntukkan kepada Amanah termasuk Langkawi dan Baling di Kedah; Sri Gading, Kota Tinggi dan Pengerang di Johor; Alor Gajah di Melaka; Jempol di Negeri Sembilan; Sabak Bernam di Selangor dan dua lagi di Titiwangsa serta Labuan.

Selain itu, antara muka baharu yang diketengahkan kali ini termasuk bekas pengarah SPRM Latifah Md Yatim (Sik) dan Nik Faizah Nik Othman (Pengkalan Chepa), yang memulakan kempen ‘bendera putih’ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. – 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen