TINDAKAN DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekadar ‘boneka’ untuk menunjukkan parti itu sebuah parti majmuk.
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata tindakan itu juga sebahagian daripada taktik DAP untuk meraih undi daripada pengundi Melayu.
“Saya fikir tindakan meletakkan calon Melayu itu untuk menunjukkan bahawa parti mereka berbilang kaum sedangkan semua tahu bahawa segala keputusan yang dibuat dalam parti itu hanya dibuat oleh sekumpulan individu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Padang Terap serta Ketua-Ketua Pembantu Tadbir Peringkat Negeri Kedah dekat Kuala Nerang hari ini.
Mahdzir yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Terap mengulas soal tindakan DAP yang meletakkan lebih ramai calon Melayu untuk PRU kali ini.
Antara calon Melayu ditampilkan DAP ialah Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Lipis), Sheikh Umar Bagharib Ali (Ayer Hitam), Zulhazmi Shariff (Jerai) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera). – Bernama, 30 Oktober, 2022.
Komen