Masa untuk BN kembali berkuasa semakin hampir


KEMARAAN Barisan Nasional (BN) ibarat awan gelap yang hanya menanti masa untuk menurunkan hujan lebat yang menenggelamkan kita semua. Kemaraan ini hampir mustahil untuk dibendung lagi.

Parit-parit untuk mengalirkan air hujan agar banjir dapat dielak terus tersumbat dan parit-parit ini gagal dibersihkan. Kolam-kolam yang sepatutnya digunakan untuk menadah air hujan agar tidak banjir semakin cetek dan tugas mendalamkannya, terbengkalai.

Saya harap analogi ini dapat memberi gambaran kepada pembaca betapa banjir besar iaitu kemenangan BN ini agak hampir mustahil dapat dielakkan.

Saya percaya ramai yang sudah menyedari akan hal ini, lebih-lebih lagi para pengundi. Mereka sedang memerhatikan gelagat blok-blok politik yang terus angkuh untuk menewaskan BN.

Jemputan Dr Mahathir Mohamad diperlekeh oleh semua pihak. Dan ini, memang sudah dijangkakan dari awal dan kita tidak pernah kecewa menghadapi semua pelecehan ini. Ini politik, tidak semua orang memahami apatah lagi bersetuju dengan kita. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya diketepikan dengan jalan yang sama iaitu pengkhianatan Ahli Parlimen Umno. Anwar juga berjaya ditipu menerusi SD (akuan bersumpah) untuk menyokongnya menjadi PM. PN dan PH sama-sama ditipu oleh Umno.

Kedua-dua penipuan ini berlaku ketika Umno dan BN belum lagi mempunyai kuasa penuh dalam kerajaan. Bayangkanlah jika mereka ada kuasa lebih sedikit daripada hari ini, pasti semua akan dimakannya mentah-mentah. Tak kiralah Anwar Ibrahim ke, Haji Hadi ke, Muhyiddin Yassin ke.

PN dan PH ketawa terbahak-bahak kepada pelawaan Dr Mahathir. Namun, pihak yang sangat gembira dengan pelecehan PN-PH ini ialah BN. 

Merekalah yang akan mendapat untung besar kerana blok-blok ini tidak mampu bekerjasama lagi. PN-PH ibarat longkang yang dibiarkan tersumbat agar banjir akan lebih cepat menenggelamkan kita semua. 

Awan semakin mendung dan berat isinya. Hanya menunggu masa untuk memuntahkan hujan dan menenggelamkan kita semua.

Justeru apa pilihan yang kita ada? 

Bagi saya, jika ini yang berlaku biarlah BN menang dan penjenayah dibebaskan untuk kembali ke tampuk kuasa. 

Apabila ini berlaku BN akan menghancurkan ekonomi negara ini, rekod telah menunjukkan hutang sia-sia berbillion ringgit terpaksa kita semua tanggung menerusi hutang 1MDB. 

Naratif yang kita bina tidak lagi ada harga. Maka biarlah bah melanda, menghabis dan meranapkan warisan yang kita bina ini. Kita reda jika itu pilihan anda semua. 

Hanya dengan hancurnya ekonomi negara ini, mungkin rakyat akan sedar mustahaknya ada pemimpin yang amanah, tidak boleh dibeli dengan wang yang murah harganya.

* Mahdzir Ibrahim, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen