Ibu, anak maut kereta terbabas di Kuala Pilah


DUA beranak maut manakala tiga anggota keluarga lain cedera ringan selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas di Jalan Terachi-Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti Norhirwan Zainal berkata mangsa, Nuratika Arsad, 27, dan anaknya yang sedang dikenal pasti identiti, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari BBP Seri Menanti dan Kuala Pilah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera ringan diselamatkan bomba sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.

“Kes kemalangan berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Amran Mohd Ghani berkata wanita berkenaan dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dan berasal dari Sabah dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Pilah sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta yang patah kaki kiri serta tiga penumpang yang cedera ringan turut dirawat di hospital sama,” katanya.

Kes kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen