AS gesa Moscow kembali kepada perjanjian bijirin


Setiausaha Negara AS Antony Blinken gesa Russia menyambung semula penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam. – Gambar EPA, 30 Oktober, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) menyeru Russia menyambung semula penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam, lapor Sputnik memetik Setiausaha Negara Antony Blinken.

Pada Sabtu, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan Moscow menggantung penyertaan membabitkan perjanjian eksport bijirin susulan serangan dron Ukraine yang menyasarkan kapal Armada Laut Hitam Rusia di Sevastopol.

“AS kesal dengan penggantungan penyertaan Rusia dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam yang diketengahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami menggesa semua pihak untuk memastikan Inisiatif diteruskan bagi menyelamatkan nyawa,” kata Blinken dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu membolehkan lebih sembilan juta tan metrik makanan dieksport dan menurunkan harga bijirin di seluruh dunia, katanya.

Setiausaha negara AS itu menuduh Rusia menjadikan “makanan sebagai senjata” dan mendakwa inisiatif bijirin Istanbul itu “berjaya dan mesti diteruskan”.

“Kami menggesa Russia menyambung semula penyertaannya dalam Inisiatif berkenaan, mematuhi peraturan sepenuhnya dan berusaha memastikan masyarakat di seluruh dunia terus menerima faedah hasil perjanjian itu,” kata Blinken.

Jurucakap PBB untuk Inisiatif Bijirin Laut Hitam, Ismini Palla berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu Rusia telah memaklumkan kepada penyelaras PBB di Pusat Koordinasi Bersama di Istanbul (JCC) tentang kebimbangan mengenai keselamatan kapal awam yang melakukan perjalanan di bawah inisiatif itu.

JCC tidak dapat mencapai persetujuan mengenai pergerakan kapal keluar dan masuk pada hari ini.

Timbalan utusan Rusia ke PBB Dmitry Polyanskiy berkata semalam Russia meminta mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pada Isnin membincangkan serangan dron Ukraine terhadap kapal dan infrastruktur Armada Laut Hitam Russia di Sevastopol hingga mendorong Moscow menangguhkan penyertaannya dalam perjanjian itu. – Bernama, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen