SEBUAH lori tangki bas meletup di Baghdad malam tadi menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan maut dan 13 yang lain cedera, kata pasukan keselamatan.
Letupan kuat yang boleh didengar di seluruh ibu negara Iraq itu dipercayai berlaku di tempat letak kereta berhampiran padang bola di kawasan perumahan di timur Baghdad.
“Sembilan orang awam terbunuh dan 13 cedera apabila lori tangki itu meletup, kata komander pasukan keselamatan di Baghdad Ahmad Salim dalam satu kenyataan.
“Letupan itu kemalangan dan bukan tindakan keganasan,” tambahnya.
Bagaimanapun sumber perubatan memberitahu 12 mangsa terbunuh.
Satu lagi sumber perubatan sebelum itu memberitahu lapan maut dan 20 cedera.
Seorang wartawan berkata tingkap bangunan berhampiran pecah berderai dan kenderaan di kawasan itu rosak.
“Kami berada di rumah dan berasakan letupan yang sangat kuat dan bau gas,” kata penduduk tempatan, Mohammed Aziz, yang tinggal hanya 100 meter dari lokasi letupan.
“Kami seperti sesak nafas. Pintu dan tingkap kami terbang.”
Presiden Iraq yang baru dilantik Abdul Latif Rashid berjanji akan melancarkan siasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab dalam kemalangan itu.
Piawaian keselamatan dalam kedua-dua sektor pengangkutan dan pembinaan sering dilanggar di Iraq, dan kemalangan adalah perkara biasa.
Pada April 2021, lebih 80 maut dalam kebakaran hospital di Baghdad, selepas tabung oksigen yang disimpan meletup. – AFP, 30 Oktober, 2022.
Komen