AHLI politik pembangkang United Kingdom (UK) menggesa siasatan dijalankan selepas sebuah akhbar melaporkan ejen Kremlin disyaki menggodam telefon bimbit bekas perdana menteri Liz Truss ketika beliau menteri luar.
Dalam satu laporan yang tidak disahkan, The Mail on Sunday memetik sumber keselamatan yang memberitahu telefon bimbit peribadi Truss digodam ejen disyaki bekerja untuk Kremlin.
Mereka dipercayai mendapat akses kepada pertukaran rahsia dengan rakan kongsi antarabangsa.
Seorang jurucakap kerajaan berkata:“Kami tidak mengulas mengenai aturan keselamatan individu namun terdapat sistem yang mantap untuk melindungi daripada ancaman siber.”
Penggodam turut mendapat akses kepada perbualan Truss dengan sekutunya Kwasi Kwarteng yang mengkritik Boris Johnson.
Yvette Cooper dari Parti Buruh berkata laporan itu menimbulkan isu keselamatan negara yang sangat penting termasuk mengapa dan bagaimana maklumat itu dibocorkan.
“Adalah penting semua isu keselamatan ini disiasat dan ditangani pada tahap paling tinggi,” katanya.
Jurucakap hal ehwal luar Liberal Demokrat Layla Moran berkata siasatan bebas untuk membongkar kebenaran perlu diwujudkan segera.
Sumber memberitahu akhbar itu telefon terbabit diletakkan di dalam peti besi berkunci di lokasi kerajaan yang selamat selepas mesej sehingga setahun digodam termasuk perbincangan sangat sensitif mengenai perang di Ukraine.
Tindakan menggodam itu diketahui pada musim panas ketika Truss menjadi menteri luar dan berkempen untuk menjadi pemimpin parti dan perdana menteri.
Ia mendakwa maklumat disimpan perdana menteri ketika itu Boris Johnson dan Simon Case, penasihat paling kanannya. – AFP, 30 Oktober, 2022.
Komen