Russia gantung perjanjian bijirin dengan Ukraine


Kapal kargo membawa bijirin dari Ukraine berlabuh di Laut Marmara di Istanbul pada 22 Oktober. Russia dan Ukraine menandatangani perjanjian bagi mengeksport bijirin ke luar Ukraine. – Gambar EPA, 30 Oktober, 2022.

RUSSIA semalam menggantung penyertaannya dalam perjanjian yang membenarkan eksport bijirin dari Ukraine, dengan alasan kerana serangan dron terhadap kapal Russia di Crimea.

Russia mengumumkan perkara itu selepas tenteranya mendakwa Kyiv melakukan serangan dron besar-besaran ke atas kapalnya di Laut Hitam.

Ukraine bagaimanapun mendakwa Russia membuat dalih palsu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa perjanjian itu dilaksanakan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyifatkan langkah itu sebagai keterlaluan kerana ia hanya akan meningkatkan tahap kebuluran.

Perjanjian Julai yang membenarkan eksport bijirin ditandatangani antara Russia dan Ukraine dan diuruskan Turkiye dan PBB itu penting untuk meredakan krisis makanan global yang berpunca daripada konflik berkenaan.

Perjanjian itu setakat ini membenarkan lebih sembilan juta tan bijirin Ukraine dieksport dan dijangka diperbaharui pada 19 November.

Sumber keselamatan Turkiye memberitahu Ankara belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggantungan Russia, manakala Ukraine dan PBB mendesak perjanjian itu terus berkuat kuasa.

“Saya menyeru semua negara untuk menuntut Russia menghentikan permainan dan komited untuk memenuhi kewajipannya,” kata Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba di Twitter.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkan langkah Russia itu sebagai niat telus Russia untuk mengembalikan ancaman kebuluran berskala besar di Afrika dan Asia.

“Baru hari ini, lebih dua juta tan makanan berada di laut. Ini bermakna masalah akses makanan sebenarnya memberi kesan kepada lebih tujuh juta pengguna,” katanya. – AFP, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen