Lebih 100 terbunuh sejak polis Filipina kembali aktif kempen perangi dadah


Polis Filipina mengesahkan 102 suspek dadah dibunuh oleh polis antara 5 Disember hingga 1 Mac apabila presidennya mengarahkan pasukan itu memerangi dadah semula. – Gambar EPA, 3 Mac, 2018.

LEBIH 100 suspek dadah terbunuh sejak Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengarahkan polis menyertai semula kempen “memerangi dadah”, kata seorang pegawai pada Sabtu.

Duterte dipilih pada 2016 berdasarkan janjinya untuk membasmi dadah, dan melancarkan kempen yang tidak pernah berlaku sebelum ini – sebagaimana didakwa aktivis hak manusia – menyebabkan 12,000 orang terbunuh.

Ketua Superintenden John Bulalacao mengesahkan 102 suspek dadah dibunuh oleh polis antara 5 Disember hingga 1 Mac apabila Duterte mengarahkan pasukan itu memerangi dadah semula.

Pada Oktober tahun lepas, presiden mengumumkan yang Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina akan menggantikan polis dalam operasi membanteras narkotik susulan penentangan masyarakat awam, termasuk protes jalanan yang jarang berlaku.

Tetapi Duterte, 72, juga berulang kali berkata agensi anti-dadah, dengan hanya kira-kira 2,000 pegawai, tidak akan mampu melakukan tindakan keras secara berkesan.

Beliau akhirnya mengarahkan polis kembali menyertai kempen anti-dadah tanpa sebarang rombakan terhadap pasukan utama.

Bulalacao tidak dapat memberikan angka perbandingan bagi kematian sebelum 5 Disember tetapi menurut angka yang dikeluarkan secara berasingan oleh kerajaan, seramai 4,021 “personaliti dadah” dibunuh antara Jun 2016 – apabila Duterte menjadi presiden – hingga 8 Februari tahun ini.

Aktivis mendakwa kira-kira 12,000 orang terbunuh dalam memerangi dadah dan memberi amaran yang kesungguhan presiden itu berkemungkinan satu tindakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pada awal Februari, pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata beliau membuka “pemeriksaan awal” terhadap penyalahgunaan yang dikatakan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Filipina mengatakan ia bersedia untuk membenarkan Pelapor Khas PBB ke negara ini untuk menyiasat tuduhan itu.

Tetapi setiausaha luar negara menggesa kerjasama diberikan semasa siasatan, dan Duterte memberitahu polis dan tentera agar tidak bekerjasama dengan pelapor itu.

“Jika mereka bertanya kepada anda mengenai salah laku, jangan jawab dan jika mereka bertanya kepada anda mengapa, beritahu mereka: kami mempunyai ketua komander,” kata Duterte kepada polis dan tentera pada Khamis.

Ditanya mengenai kenyataan ini, Bulalacao berkata jika penyiasat antarabangsa bertanya kepada polis, “kami akan merujuk perkara ini kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi.” – AFP, 3 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen