Australia hantar pulang 17 warganegara dari kem Syria


Kem tahanan Al-Hol dan Roj di timur laut Syria yang menempatkan empat wanita dan 13 kanak-kanak warga Australia. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2022.   

EMPAT wanita dan 13 kanak-kanak dihantar pulang ke Australia hari ini setelah bertahun-tahun ditempatkan di kem tahanan Syria selepas kejatuhan Negara Islam.

Ia adalah yang pertama dalam siri misi yang dirancang untuk membawa pulang kira-kira 20 wanita Australia dan 40 kanak-kanak—isteri, anak lelaki dan anak perempuan pejuang IS yang dikalahkan—dari kem Al-Hol dan Roj yang terkenal.

Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil berkata kerajaan menimbang pelbagai faktor keselamatan, komuniti dan kebajikan.

“Keputusan menghantar pulang wanita dan anak-anak mereka dimaklumkan melalui penilaian individu berikutan kerja terperinci oleh agensi keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas 17 mereka mendarat di Sydney.

Penghantaran pulang adalah isu perbalahan politik di Australia dengan bekas kerajaan konservatif mengisytiharkan kumpulan itu menimbulkan ancaman keselamatan.

O’Neil berkata wanita itu boleh didakwa di Australia jika pegawai anti keganasan mendapati mereka terlibat dalam aktiviti haram semasa berada di Syria.

Penyelidik Human Rights Watch Sophie McNeill berkata ia adalah langkah yang sudah lama tertangguh.

“Selama bertahun-tahun kerajaan Australia membiarkan rakyatnya dalam keadaan yang mengerikan di kem terkunci di timur laut Syria.

“Australia boleh memainkan peranan kepimpinan dalam memerangi keganasan melalui penghantaran pulang warganya yang teratur ini kebanyakannya kanak-kanak yang tidak pernah memilih untuk hidup di bawah ISIS,” katanya.

Wanita dan kanak-kanak Australia itu tinggal di kem tahanan Al-Hol dan Roj di timur laut Syria yang dikuasai Kurdish sejak kejatuhan IS pada 2019. – AFP, 29 Oktober, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen