Pemain pertahanan Arsenal Pablo Marì cedera ditikam


Pablo Marì cedera dalam kejadian tikaman di sebuah pasar raya di Assago, dekat Milan semalam. Beliau antara empat mangsa yang cedera dalam insiden itu. – Gambar EPA, 28 Oktober, 2022.

PEMAIN pertahanan Sepanyol bagi pasukan Serie A Monza, Pablo Marì cedera dalam kejadian tikaman di sebuah pasar raya di Assago, dekat Milan semalam.

Bek tengah berusia 29 tahun dipinjamkan dari Arsenal itu adalah antara empat mangsa yang cedera dalam insiden yang turut meragut satu nyawa.

Dalam kejadian itu seorang lelaki yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental menyerang orang ramai di pasar raya itu, lapor agensi berita Itali (ANSA).

Mari dilaporkan ditikam di belakang semasa membeli-belah bersama isteri dan anaknya.

Beliau kini dirawat di hospital Niguarda, Milan dan akan menjalani pembedahan.

Pengarah Monza Adriano Galliani berkata pada Khamis Mari tidak berada dalam keadaan yang mengancam nyawa.

Menurut ANSA, penyerang berusia 46 tahun itu dilaporkan mengambil pisau yang dijual di pasar raya itu dan mula menyerang orang ramai.

Dia menghadapi tuduhan membunuh dan cubaan membunuh beramai-ramai. – Bernama, 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen