Kerusi Cameron Highlands ditawar selepas dikritik, kata Wong Tack 


Wong Tack memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Bentong pada PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

DAP hanya menawarkan kerusi Cameron Highlands kepada Wong Tack selepas berdepan kritikan daripada rakyat dan ahli parti di Bentong, kata penyandang kerusi Parlimen Bentong itu.

Wong Tack, yang kemudiannya memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen itu berkata keputusan awal DAP adalah untuk menggugurkan beliau daripada menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa beliau ditawarkan berpindah ke kerusi Cameron Highlands bagi memberi laluan kepada bekas Adun Ketari, Young Syefura Othman adalah tidak tepat.

Aktivis yang menjadi ahli politik itu berkata DAP Pahang telah memutuskan pada 16 Oktober untuk mengeluarkannya dari Bentong, dan memberitahunya bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di Pahang.

“Saya akan hilang sepenuhnya dari Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau kemudiannya ditawarkan kerusi Cameron Highlands berikutan kritikan daripada pengundinya dan ahli parti akar umbi.

“Saya segera menolak tawaran itu.”

Beliau seterusnya berkata Loke telah bertemu dengannya pada 23 Oktober untuk menggesa beliau mempertimbangkan semula untuk bertanding di Cameron Highlands.

“Saya memberitahunya bahawa saya akan sampaikan apa yang telah kami bincangkan dalam pertemuan dengan ahli akar umbi Bentong dan memberi keputusan kepadanya dalam masa 24 jam.”

Pada Rabu, DAP menamakan Young Syefura sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Bentong.

Wong Tack berkata parti itu juga memberitahunya bahawa beliau tidak akan sesuai dengan strategi besar parti untuk PRU15.

Pada pilihan raya umum lalu, Wong Tack menewaskan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai untuk memenangi kerusi tradisi Barisan Nasional. – 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen