PASARAN e-dagang Vietnam dijangka paling pesat berkembang di Asia Tenggara menjelang 2026, kata ketua Amazon Global Selling Vietnam Gijae Seong.
Walaupun ekonomi global pulih secara tidak sekata selepas pandemik Covid-19, e-dagang rentas sempadan di dunia termasuk Vietnam, masih menyaksikan pertumbuhan yang baik, katanya memetik laporan baru-baru ini pada acara pelancaran Minggu Amazon di Hanoi pada Khamis, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).
Statistik menunjukkan e-dagang global diunjur berkembang 28.4% setahun antara 2020 dan 2027 manakala hasil daripada e-dagang perniagaan kepada pengguna (B2C) di Vietnam juga dijangka meningkat lebih 20% setiap tahun.
Lebih ketara dalam tempoh 12 bulan (dari 1 Sept 2021 hingga 31 Ogos 2022), penjual Vietnam mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan di Amazon dengan hampir 10 juta produk “Buatan Vietnam” dihantar kepada pembeli global melalui Amazon, menurut Seong.
Tambah beliau jumlah penjual Vietnam di pasaran dalam talian ini juga melonjak 80% daripada tahun sebelumnya.
Seong berkata strategi 2023 Amazon untuk Vietnam bertumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran dan kesediaan e-dagang rentas sempadan di negara ini, membantu membina jenama global untuk produk Vietnam, membantu perkhidmatan logistik berkembang secara global, meningkatkan pengalaman penjual dan menyumbang kepada pembangunan permulaan.
Timbalan Pengarah Agensi E-Dagang dan Ekonomi Digital (iDEA) Vietnam di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Lai Viet Anh berkata sejak 10 tahun lepas e-dagang di negara itu terus berkembang 25 hingga 30% dengan jumlah dagangan meningkat kepada AS$13.7 bilion pada 2021 atau lebih 7% daripada jumlah aliran barangan dan perkhidmatan pengguna dan menjadi saluran pengedaran yang sangat penting selain saluran tradisional.
Walaupun wujud impak pandemik antara 2020 dan 2021, e-dagang masih berkembang pesat di Vietnam, dengan unjuran pertumbuhan dua angka tahun ini untuk menduduki tempat ketiga di Asia Tenggara, menurut Anh.
Untuk masa hadapan, iDEA akan meningkatkan kerjasama dengan Amazon untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan produk Vietnam menyertai pasaran global, tambah pegawai itu.
Minggu Amazon berlangsung di Hanoi pada 27 dan 28 Okt dan di Ho Chi Minh City pada 31 Okt hingga 1 Nov. Ia menyediakan maklumat terkini dan pelbagai dimensi melalui perbincangan meja bulat dan bengkel untuk membantu penjual Vietnam meneroka potensi eksport, mengembangkan pasaran antarabangsa dan membangunkan jenama. – Bernama, 28 Oktober, 2022.
Komen