70,000 pegawai, anggota pelbagai agensi ditugaskan hadapi banjir, kata menteri


Kerajaan sudah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi 'hotspot' banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

SERAMAI 70,000 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi ditugaskan bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata jumlah itu meliputi pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 21,018 orang, Angkatan Tentera Malaysia (18,500 orang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,000 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10,500 orang) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (4,400 orang).

“Kita minta bantuan daripada beberapa agensi untuk membantu PDRM kerana kita sedar ramai anggota kita juga akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Kita juga ada minta bantuan untuk menggunakan aset-aset daripada agensi terbabit seperti lori, bot dan aset udara,” katanya selepas menghadiri taklimat PRU15 dan persiapan menghadapi MTL di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi “hotspot” banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.

“Kita kaji beberapa strategi untuk pastikan rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PDRM kerana kita telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana akibat hujan lebat,” katanya. – Bernama, 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen