.jpg)
DALAM pemilihan perdana menteri United Kingdom (UK) pada Sabtu lalu, ahli-ahli Parlimen konservatif sedar bahawa mereka mungkin berdepan dengan Boris Johnson, yang dulunya tidak mempunyai rekod dan prestasi yang baik sewaktu menjawat jawatan tersebut.
Lantas sokongan mereka berpindah ke Rishi Sunak. Begitu juga dengan penyokong Liz Truss yang dulunya menentang Sunak, tetapi berpatah arang untuk kembali menyokong beliau.
Sunak bukan saja membawa kekuatan dari segi polisi kewangan dan ekonomi; beliau mencerminkan pembaharuan dan seorang profesional dalam pentadbiran.
Rekodnya semasa menjadi menteri kewangan terserlah dan memberi keyakinan kepada ramai ahli Parlimen konservatif dan rakyat UK.
Tetapi yang paling utama dalam politik di UK, Sunak tidak dipinggirkan (sewaktu kalah kepada Truss dua bulan dulu) atau terpilih semata-mata atas dasar kaum.
Buat pertama kali, UK mendapat seorang PM yang bukan daripada kaum majoriti.
Tiada agenda yang berbau perkauman dan keagamaan yang ditiup dan dimainkan mana-mana pihak dalam menyokong atau tidak menyokong Sunak.
Sunak yang berketurunan India (lahir di England sebagai generasi pertama) mengaku secara terbuka bahawa beliau adalah penganut Hindu tulen.
Itulah tahap penerimaan kaum majoriti di UK walaupun jumlah penduduk ethnik seperti Sunak dan Kwasi Kwateng (keturunan Nigeria) jauh lebih kecil.
Perkauman di Malaysia
Berlainan sekali keadaannya di Malaysia. Di sini, parti politik ditubuhkan untuk satu-satu kaum sahaja.
Yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila kempen atau ceramah untuk memikat undi yang diadakan seperti sekarang menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tertumpu kepada satu kaum atau sesuatu agama sahaja.
Amat malang apabila pemimpin politik di Malaysia, tanpa rasa bersalah atau malu setiap kali mengeluarkan ucapan dan kenyataan rasis, tebal dengan sifat perkauman serta menggunakan agama sebagai alat untuk memancing undi.
Pada masa sama mereka juga memperkecilkan kaum lain di negara ini, seolah-olah kaum yang bukan majoriti adalah rakyat kelas kedua atau ketiga. Ini amat menyedihkan.
Sebagai contoh, Umno yang pernah berkuasa selama 65 tahun masih tidak lari dari ungkapan agama, bangsa dan negara yang ditujukan kepada satu kaum sahaja.
Ketua parti mereka, secara terang-terangan menganggap kaum bukan majoriti sebagai ‘pendatang’. Ini amat dikesali.
Begitu juga rakan sekutu politik mereka, MCA, MIC serta PAS, Bersatu dan Pejuang (parti Dr Mahathir Mohamad) yang terus terang berjuang untuk satu kaum dan satu agama sahaja.
Apakah rakyat di negara kita tidak sedar tentang faktor perkauman yang ditiup begitu rupa?
Rakyat Malaysia yang menjadi pengundi dalam memilih wakil mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri harus menjadi lebih matang dan menolak sebarang jenis perkauman yang dimainkan oleh parti-parti tersebut.
Ini juga bererti, mereka mesti menolak parti dan calon yang berkempen atas dasar perkauman.
Media dan polis
Dalam hal ini ada dua cara untuk melawan perkauman, seperti yang diamalkan di UK.
Dua cara tersebut, yang ternyata amat berkesan, ialah peranan yang mesti dimainkan oleh pihak media dan polis.
Di UK, pihak media amat sensitif dalam menangani kenyataan yang dibuat oleh pemimpin, ahli-ahli politik, ketua-ketua NGO dan orang awam tentang isu perkauman.
Bukan sahaja kenyataan perkauman tidak mendapat tempat, individu yang terlibat juga akan dikritik, disenarai hitam dan tidak akan mendapat publisiti di media massa.
Pihak media tidak akan menyiarkan, apalagi memberi ruang kepada kenyataan-kenyataan rasis dan berbaur perkauman, terutama dari kalangan orang politik.
Media di Malaysia mesti memainkan peranan ini. Para editor mesti menolak sebarang kenyataan perkauman yang dimainkan oleh orang-orang politik. Ini yang utama dan amat penting.
Di UK, pihak polis amat bertanggungjawab dalam hal sebegini. Mereka berani untuk menahan orang-orang yang terlibat dalam menghasut dan membuat kenyataan yang condong kepada perkauman. Sudah sampai masanya untuk Malaysia bergerak ke arah yang sama.
Ternyata politik Malaysia hari ini jauh terbabas, terkesan dari salah guna kuasa dan diselimuti perkauman yang serius. Isu-isu agama dan perkauman yang terus dimainkan ramai ahli politik perlu ditangani dengan matang.
Rakyat sebagai pengundi sepatutnya telah lama menolak ahli politik sedemikian. Mereka harus ditolak pada PRU15 nanti.
Parti-parti perkauman sepatutnya sudah tiada tempat lagi dalam Parlimen Malaysia. – 28 Oktober, 2022.
* Rosli Khan, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen