Mujahid mahu saman PAS, fitnah beliau sokong LGBT


Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama kepada mana-mana pimpinan PAS yang disifatkannya 'tidak serik-serik membuat tulisan-tulisan fitnah' dan mengaitkannya dengan LGBT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

NAIB Presiden Amanah Mujahid Yusof memulakan tindakan saman fitnah terhadap PAS selepas parti Islam itu melalui akaun Facebooknya baru-baru ini menuduh beliau menyokong LGBT.

Beliau semalam menghantar satu surat tuntutan fitnah kepada PAS melalui firma guaman Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir.

“Pihak Pejabat Agung PAS juga telah mengaku-terima surat tuntutan tersebut,” katanya malam tadi.

Tindakan undang-undang itu diambil berhubung satu tulisan bertajuk “Mantan Menteri Agama PH Sokong Eljibiti?” yang dimuat naik di laman Facebook PAS pada 16 Oktober 2022.

Tulisan itu memaparkan poster gambar Mujahid dan aktivis transgender Nisha Ayub semasa beliau memegang jawatan menteri agama dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Dalam suratnya, Mujahid meminta PAS memadam serta menarik balik tulisan itu, selain meminta maaf dan membayar ganti rugi kerana memburukkan nama baiknya.

Beliau juga berkata tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama kepada mana-mana pimpinan PAS yang disifatkannya “tidak serik-serik membuat tulisan-tulisan fitnah” dan mengaitkannya dengan LGBT.

Pada Ogos 2018, Mujahid menjelaskan pertemuannya dengan Nisha bukan tanda beliau bersetuju dan mengiyakan perjuangan dan perbuatan golongan LGBT. – 28 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen