Kes Tibi meningkat semula, kata WHO


Tibi adalah penyakit berjangkit pembunuh kedua teratas selepas Covid-19, tersebar melalui udara oleh bakteria hingga menjejaskan paru-paru. – Gambar AFP, 28 Oktober, 2022.

JUMLAH kes penyakit tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering meningkat tahun lepas, pertama kali dalam tempoh 20 tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Menurut WHO, peningkatan itu didorong oleh pandemik Covid-19 yang mengganggu akses kepada pengesanan dan rawatan Tibi, lantas menyebabkan usaha mengawal penyakit berjangkit itu mula merosot.

Tibi adalah penyakit berjangkit pembunuh kedua teratas selepas Covid-19, tersebar melalui udara oleh bakteria hingga menjejaskan paru-paru.

Dianggarkan seramai 1.6 juta orang maut akibat Tibi tahun lepas, berbanding 1.5 juta pada 2020 dan 1.4 juta pada 2019.

Pengarah Program Tibi global WHO Tereza Kasaeva berkata usaha memerangi penyakit itu perlu dilakukan segera.

“Pertama kali dalam hampir dua dekad WHO melaporkan peningkatan bilangan pesakit dan kematian akibat Tibi,” katanya dalam kenyataan.

WHO dalam laporan tahunannya berkata dianggarkan 10.6 juta orang dijangkiti TB tahun lepas, meningkat 4.5% berbanding pada 2020.

Asia Tenggara paling tinggi rekod kes TB pada 2021 iaitu 45%, diikuti Afrika (23%) dan Pasifik Barat (18%).  – AFP, 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen