Guru tidak bertauliah di UK didapati bersalah rekrut kanak-kanak jadi pengganas


Umar Ahmed Haque menghasut beberapa kanak-kanak untuk melakukan pelbagai serangan ke atas perniagaan dan komuniti di London, kata Polis Metropolitan dalam satu kenyataan. – Gambar AFP, 3 Mac, 2018.

SEORANG lelaki yang merupakan guru tidak bertauliah dihukum bersalah oleh Mahkamah British pada Jumaat selepas didakwa cuba untuk merekrut kanak-kanak untuk melakukan aktiviti keganasan.

Umar Ahmed Haque, 25, menghasut beberapa kanak-kanak untuk melakukan “pelbagai serangan ke atas perniagaan dan komuniti di London”, kata Polis Metropolitan dalam satu kenyataan.

Haque, dari timur London, menunjukkan kepada murid video yang memaparkan “keganasan ekstrem” dan menyuruh mereka untuk menjadi “pengganas olok-olok yang menikam pegawai polis” selepas tamat waktu persekolahan di madrasah.

Dua rakan subahatnya, Abuthaher Mamun, 29 dan Muhammad Abid, 27, turut disabitkan kesalahan di Mahkamah Old Bailey di London.

“Haque adalah lelaki yang berbahaya yang terinspirasi daripada serangan di Eropah dan Westminster. Dia mahu merancang beberapa serangan secara sekali gus, menggunakan senjata api, pisau, bom dan kenderaan berat untuk membunuh orang awam,” kata Ketua Bahagian Anti-Pengganas Dean Haydon. – AFP, 3 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen