PRESIDEN Xi Jinping berkata China bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) demi keamanan dan kestabilan manusia sejagat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan tahniah untuk majlis makan malam gala tahunan Jawatankuasa Kebangsaan Hubungan AS-China.
Xi berkata China dan AS harus menghormati antara satu sama lain, hidup bersama secara aman, melaksanakan kerjasama sama menang serta mencari jalan agar kedua-dua negara dapat menjalin hubungan dalam era baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga dunia, lapor Agensi Anadolu memetik Global Times.
“Dunia hari ini tidak lagi aman. Sebagai kuasa besar, pengukuhan komunikasi dan kerjasama antara China dan AS akan membantu meningkatkan kestabilan dunia serta membantu menggalakkan keamanan dan pembangunan global,” katanya.
Ini merupakan kenyataan pertama beliau mengenai hubungan dengan AS selepas dilantik sebagai presiden untuk penggal ketiga pada hujung minggu lalu.
Xi berharap Jawatankuasa Kebangsaan China mengenai Hubungan AS-China akan terus memainkan peranan aktif dalam membantu hubungan dua hala kembali ke landasan yang sihat dan stabil.
Ketegangan antara Beijing dan Washington memuncak berikutan China melancarkan operasi ketenteraan di sekitar Taiwan pada Ogos yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejurus selepas Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke pulau itu.
Beijing menyifatkan lawatan berkenaan sebagai pencabulan terhadap kedaulatannya dan mengadakan aktiviti ketenteraan besar-besaran termasuk melancarkan peluru berpandu melepasi pulau yang memiliki populasi lebih 24 juta orang.
Selain operasi ketenteraan, China turut menggantung sesi dialog ketenteraan peringkat tinggi dengan Pentagon serta kerjasama mengenai perubahan iklim. – Bernama, 27 Oktober, 2022.
Komen