Menteri Britain minta LGBTQ hormat undang-undang Qatar


Menteri Luar Britain James Cleverly mengingatkan golongan golongan LGBTQ supaya menghormati undang-undang dan budaya Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2022.

MENTERI Luar Britain James Cleverly dikritik selepas mengingatkan golongan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) supaya menghormati undang-undang dan budaya Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022.

Kejohanan bola sepak antarabangsa itu akan bermula 20 November ini.

“Salah satu perkara yang ingin saya beritahu kepada peminat bola sepak, sila hormati negara tuan rumah.

“Mereka cuba memastikan orang ramai menjadi diri sendiri dan menikmati perlawanan bola sepak. Jadi bagi saya, dengan sedikit tolak ansur, Piala Dunia kali ini akan berlangsung dengan aman, selamat dan menyeronokkan,” kata Cleverly kepada stesen radio LBC pada Rabu.

Peringatan Cleverly itu  bagaimanapun diselar kumpulan peminat LGBT England, Three Lions Pride, yang menyifatkannya sebagai diskriminasi. 

Manakala Lucy Powell dari Parti Buruh pula berkata kenyataan Cleverly itu mengejutkan.

Qatar juga sebelum ini dikritik kerana dikatakan memberi layanan buruk terhadap pekerja asing yang terbabit dalam pembinaan infrastruktur Piala Dunia 2022. – AFP, 27 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen