15 pengikut Syiah maut serangan bersenjata di Iran


Pengawai membersihkan Shah-Cheragh selepas serangan pengganas, di bandar Shiraz, Iran Selatan, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang maut. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 15 orang terbunuh pada Rabu dalam serangan tempat ibadah pengikut Syiah di selatan Iran, kata media kerajaan.

Serangan bersenjata semasa solat Maghrib di Shah Cheragh di bandar Shiraz turut mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang yang lain, kata televisyen kerajaan.

Laporan sebelum ini mengatakan 13 orang terbunuh dan 40 cedera, dan tiga penyerang terlibat.

Ketua badan kehakiman tempatan Kazem Mousavi memberitahu televisyen kerajaan hanya seorang pengganas yang terlibat dalam serangan itu.

Penyerang menembak secara rambang ke arah jemaah, kata gabenor tempatan Mohammad-Hadi Imanieh kepada media.

Seorang saksi memberitahu agensi berita IRNA beliau mendengar tangisan wanita ketika solat Maghrib bermula, dan penyerang memasuki tempat itu dan melepaskan tembakan.

Media Iran menyiarkan imej dan rakaman video yang menunjukkan mayat berlumuran darah ditutup dengan kain terbaring di dalam masjid.

Agensi berita Fars berkata seorang wanita dan dua kanak-kanak adalah antara yang terbunuh.

Kumpulan pengganas Isis mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Presiden Iran Ebrahim Raisi berikrar mengambil tindakan tegas susulan kejadian itu.

Beliau juga mengutuk musuh Iran yang cuba memecahbelahkan barisan bersatu negara melalui keganasan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Serangan itu berlaku ketika Iran digemparkan dengan protes jalanan sejak kematian Mahsa Amini bulan lalu selepas beliau ditangkap oleh polis moral kerana didakwa melanggar peraturan pakaian ketat republik Islam itu terhadap wanita.

Puluhan orang, terutamanya penunjuk perasaan dan anggota pasukan keselamatan, terbunuh semasa pergolakan itu. Beratus-ratus lagi, termasuk wanita, telah ditangkap. – AFP, 27 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen