Asean gesa tindakan segera selesai krisis Myanmar


Asean menggesa pihak berkaitan agar menghentikan keganasan di Myanmar dengan segera. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2022.

ASEAN menyeru semua pihak berkepentingan, “khususnya kuasa-kuasa besar di lapangan, untuk mengambil tindakan konkrit mencari penyelesaian aman bagi krisis di Myanmar.

Kemboja selaku pengerusi Asean menegaskan bahawa blok itu amat bimbang dengan peningkatan keganasan di Myanmar baru-baru ini, termasuk insiden pengeboman di penjara Insein, persengketaan di negeri Karen dan laporan mengenai serangan udara di negeri Kachin, hingga mengakibatkan ramai orang awam terbunuh atau cedera.

“Kami amat sedih dengan angka korban semakin meningkat dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Myanmar.

“Oleh itu, kami menggesa pihak berkaitan agar menghentikan keganasan di Myanmar dengan segera.

“Kami juga menyeru semua pihak khususnya yang mempunyai kuasa di lapangan untuk mengambil tindakan bagi membenarkan proses dialog secara inklusif dan konstruktif serta mencari penyelesaian demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” menurut blok itu dalam satu kenyataan.

Asean menyuarakan kebimbangan mengenai pertempuran terbaharu yang semakin sengit bukan sahaja memburukkan situasi kemanusiaan di seluruh Myanmar, bahkan bertentangan dengan Konsensus Lima Perkara Asean (5PC) serta menjejaskan usaha Duta Khas Pengerusi Asean ke Myanmar untuk membawa kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.

Pada Isnin, media melaporkan bahawa serangan udara telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang ketika konsert berlangsung di Hpakant, negeri Kachin pada 23 Oktober.

Jurucakap Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), Naw Bu berkata serangan itu menyasarkan sambutan ulang tahun ke-62 penubuhan sayap politik tentera Kachin, iaitu Pertubuhan Kemerdekaan Kachin (KIO), lapor Reuters.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar menyuarakan rasa kesalnya dengan kejadian yang berlaku di Hpakant.

“PBB akan terus mengesahkan butiran mengenai serangan ini, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan rakan-rakan yang terbunuh atau cedera.

PBB menyeru mereka yang cedera diberi rawatan perubatan dengan kadar segera.

“Jelas bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan yang berlebihan dan tidak sewajarnya terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah tidak boleh diterima dan mereka yang terlibat mesti bertanggungjawab,” menurut PBB.

Sementara itu, Kementerian Luar Myanmar memaklumkan beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat dan jurucakap Setiausaha Agung PBB telah mengeluarkan kenyataan berat sebelah berhubung beberapa insiden berdasarkan fakta daripada kumpulan yang menentang kerajaan dan sumber yang tidak sah daripada media sosial.

Kementerian itu menasihatkan kerajaan asing dan PBB supaya mengesahkan fakta sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Mengeluarkan kenyataan tanpa mendapat pengesahan boleh mencetuskan penyebaran khabar angin yang disengajakan.

“Ia sama sahaja seperti mencampuri hal ehwal dalaman sesebuah negara dan melanggar prinsip dan norma yang ditetapkan dalam Piagam PBB serta Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik.

Kementerian Luar juga telah menghantar surat bantahan diplomatik kepada kedutaan berkaitan dan PBB di Yangon yang mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini,” menurut kementerian itu.

Menteri Luar Asean akan mengadakan mesyuarat khas di Indonesia pada Khamis untuk membincangkan proses damai di Myanmar. 

Myanmar tidak menghantar wakil di Sidang Kemuncak Asean bulan depan selepas junta menolak cadangan untuk menghantar wakil bukan junta.

Pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar bertindak merampas kuasa beberapa jam sebelum parlimen yang baharu bersidang buat kali pertama hingga membawa kepada pergolakan dan kekacauan berterusan di negara itu. – Bernama, 27 Oktober, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen