Anwar beri bayangan Amirudin lawan Azmin di Gombak


Mohd Farhan Darwis

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka bertembung dengan penyandang kerusi Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2022.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memberi bayangan gabungan itu akan meletakkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menentang Azmin Ali di Parlimen Gombak.

“Itu kerja Amir nak berdepan di Gombak, kita hantar panglima utama Selangor untuk berdepan di Gombak.

“Dah bocor soalan, tetapi ini bukan pengumuman rasmi,” kata Anwar.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika siri Jelajah Mega Harapan di Kuala Selangor, malam tadi.

Amiruddin yang merupakan pengerusi PH Selangor turut hadir dalam program malam tadi yang menyaksikan PH melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Amirudin juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, satu dari tiga kerusi negeri yang terletak di bawah kawasan Parlimen Gombak.

Pengumuman rasmi calon PKR dijadual berlangsung dalam satu majlis di Ampang, Selangor, Jumaat ini.

Parti itu bagaimanapun sudah membuat pengumuman rasmi beberapa pimpinan mereka seperti Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun.

Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun akan bertanding di Parlimen Port Dickson, kerusi milik Anwar sebelum ini.

Azmin mewakili Parlimen Gombak selama tiga penggal atas tiket PH namun dipecat pada 2020 kerana terlibat dalam percaturan politik sehingga menumbangkan kerajaan PH yang mentadbir selama 22 bulan.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dijangka mempertahankan kerusi tersebut. 

Bermula 11 September lalu, PKR juga telah memulakan kempen serangan bagi menawan semula kesemua kerusi yang mereka gelarkan kerusi pengkhianatan, yang bermula di Gombak.

Parlimen Gombak merupakan sebilangan kerusi bandar yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang membentuk sekitar 77% daripada keseluruhan pengundi.

Etnik Cina dan India membentuk masing-masing sejumlah 11% daripada keseluruhan populasi pengundi. – 27 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen