Kerusi Parlimen Batu bakal saksikan pertembungan sengit


Noel Achariam Alfian Z.M. Tahir

P. Prabakaran memenangi kerusi DUN Batu dalam pilihan raya umum lepas sebagai calon bebas dengan sokongan Pakatan Harapan dan kemudian menyertai PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2022.

PARLIMEN Batu di Kuala Lumpur menjadi tumpuan kerana bilangan calon yang mahu memenangi kerusi bandar ini dengan pengundi campuran terus meningkat.

Seperti yang diketahui PKR yang memenangi kerusi ini buat kali pertama daripada Barisan Nasional pada 2008 mendahului.

Bagaimanapun parti itu dikatakan tidak membuat keputusan mengenai pemilihan calonnya, kata pemerhati.

Penyandang wakil rakyat di kerusi ini ialah P. Prabakaran yang menang dalam pilihan raya umum lepas sebagai calon bebas dengan sokongan Pakatan Harapan dan kemudian menyertai PKR.

Beliau kini juga ketua bahagian PKR Batu, menyingkirkan veteran parti Tian Chua. Prabakaran yang berusia 26 tahun merupakan ahli Parlimen termuda.

Tian Chua merupakan ahli Parlimen Batu selama dua penggal sebelum PRU14 tetapi hilang kelayakan sebagai calon oleh pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya selepas denda RM2,000 dikenakan ke atasnya bagi kes jenayah pada 2017.

Pada 2019 Mahkamah Tinggi memutuskan kehilangan kelayakan Tian Chua sebagai calon PRU14 adalah tidak sah dan beliau bebas bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Beliau kini dikatakan sedang mengintai untuk bertanding semula di Batu.

Setakat ini tiga lagi calon menyatakan minat mereka untuk bertanding di Batu - aktivis merangkap peguam Siti Kassim, Nathan Pillai dari Warisan dan pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali sebagai Cleopatra.

Siti Kassim dan Nur Fathiah merupakan calon bebas.

Siti Kassim, 59, mewakili Gerakan Bebas berkata beliau mahu membantu pengundi membangkitkan isu-isu seperti kenaikan kos sara hidup.

Bagi Nur Fathiah yang mengumumkan pencalonannya di media sosial berkata beliau mahu membangkitkan isu masyarakat dan meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan itu.

Pengarah sebuah syarikat pertahanan dan keselamatan itu juga berkata beliau akan memberi tumpuan kepada isu tempat letak kereta dan kesesakan berhampiran flat PPR di Batu.

Sementara itu Nathan dari Warisan memberitahu The Malaysian Insight matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan ekonomi tempatan.

Selain calon tersebut Perikatan Nasional juga dijangka bertanding di kerusi itu manakala MIC juga menyatakan kesediaannya untuk bertanding di bawah panji Barisan Nasional.

Batu menjadi kubu kuat Gerakan kerana parti itu bertanding di bawah panji BN sejak kawasan itu mula ditubuhkan sebagai kawasan pilihan raya pada 1984. Parti itu kemudiannya meninggalkan BN pada 2018 selepas PRU14 dan pada 2021 menyertai PN.

Bagaimanapun kali ini ura-ura Gerakan akan keluar dari Batu membenarkan sama ada Bersatu atau PAS mewakili PN.

Bagi BN jika MIC diberi laluan, pilihan untuk bertanding ialah Ketua Wilayah Persekutuan MIC, S Rajah.

Dan mungkin masih ada calon bebas lain yang menyertai pertembungan itu. – 27 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen