Parti kecil tak beri kesan pada PRU15, kata penganalisis


Angie Tan

Penganalisis berkata PRU15 akan dikuasai oleh tiga blok politik utama yakni Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, yang mana menurut mereka parti kecil dan baharu tidak mampu capai kemajuan jika tidak bergabung dengan salah satu dari tiga blok parti tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2022.

PARTI politik baharu, kecil dan tidak dikenali akan sukar untuk mencapai sebarang kemajuan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini, kata penganalisis.

Malah, parti-parti itu akan menerima nasib yang lebih teruk jika tidak bergabung dengan mana-mana parti, kata mereka.

Tambah mereka, parti seperti Pejuang, walaupun dikepalai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah yang telah melebarkan sayap ke Semenanjung, juga akan melalui jalan sukar untuk menambat hati pengundi dalam tempoh singkat.

PRU ini, kata mereka, masih akan dikuasai oleh tiga blok politik utama – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Cheah See Kian, pemerhati politik veteran secara terus terang memberitahu The Malaysian Insight parti-parti kecil dan baharu ini tidak mampu pergi jauh.

“Mereka tidak biasa dengan pengundi. Jadi tidak mungkin mereka akan dapat banyak sokongan.

“Sejak dahulu lagi orang cenderung untuk memilih sesuatu yang mereka sudah biasa, dalam kes ini, parti politik.

“Saya tidak nampak ada peluang untuk parti-parti kecil ini, parti baharu atau parti serpihan yang ditubuhkan selepas berpisah daripada parti yang lebih besar,” katanya.

Cheah berkata pengundi tidak akan berhadapan masalah untuk mengenal pasti PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin, BN pimpinan Umno atau PH oleh Anwar Ibrahim serta ideologi politik mereka.

Beliau berkata nasib parti-parti kecil ini boleh berubah jika mereka menyertai dan menjadi parti komponen tiga blok itu, seperti Pejuang Dr Mahathir yang ketika ini sedang cuba mendekati PN.

“Jika Pejuang bergerak solo pada PRU15 ini, mereka akan berakhir seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun parti itu ada seseorang yang berpengaruh seperti Dr Mahathir.

“Dr Mahathir sahaja tidak dapat tarik sokongan. Ini akan berlaku dengan semua parti lain.”

Pada PRN Johor, Pejuang menolak tawaran kerjasama PH untuk meletakkan calon di 42 daripada 56 kerusi. Semua calon mereka kalah ketika itu.

Cheah berkata jalan yang sama turut menanti Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Zuraida Kamaruddin dan Warisan yang dikepalai Shafie Apdal.

“Mereka tidak ada karisma dan pengaruh. Mereka akan dapat beberapa undi tetapi tidak cukup untuk menang sebarang kerusi.

“Jadi ia boleh jadi usaha yang sia-sia,” katanya.

Mengenai bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Muda, Cheah berkata kes jenayah di mana beliau didakwa menyeleweng lebih RM1 juta serta pecah amanah jenayah (CBT), ditambah dengan kekurangan pengaruhnya, boleh membuatkan penyokongnya menjauhkan diri.

Tambahnya, memandangkan pengundi secara amnya tidak kenal parti-parti ini atau personaliti di belakang mereka, jadi amat susah bagi mereka untuk tukar pandangan dalam tempoh kempen 14 hari yang singkat.

Aktivis sosial dan politik terkenal Vincent Thock Kiah Wah berkata dari segi sejarah, trend itu sentiasa menjadi permulaan yang sukar bagi parti baharu. Beliau mengambil contoh DAP.

Thock berkata DAP mengambil masa hampir dua dekad, dari tahun 1970-an hingga 1990-an, untuk mendapat tempat dalam kancah politik Malaysia.

Katanya, hanya selepas bekerjasama dengan Anwar dan membentuk gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan hari ini, barulah mereka berjaya.

Ia memuncak dengan kemenangan bersejarah 2018 yang menumbangkan BN yang telah memerintah lebih 60 tahun.

Thock berkata BN berjaya memerintah sekian lama kerana ia mendapat kekuatan daripada banyak parti komponen dalam gabungan itu.

Pengalaman DAP dan BN hanya menggambarkan betapa sukarnya parti-parti kecil untuk bertahan, tambahnya.

Beliau berkata perkara yang sama akan turut dihadapi oleh parti-parti kecil lain seperti Parti Rakyat Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Gerak Independent (GI) pimpinan  peguam hak asasi manusia yang lantang Siti Kassim.

Thock berkata dengan pelbagai parti dan gabungan, PRU15 ini akan menyaksikan lebih banyak pertembungan pelbagai penjuru.

Itu, tambahnya, akan mengurangkan lagi peluang bagi parti yang lebih kecil untuk menang. – 27 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen