Ukraine perlukan AS$3.97 bilion harungi musim sejuk


Sebuah bangunan kediaman di Kiev yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Ukraine berdepan krisis tenaga menjelang musim sejuk susulan konflik dengan Rusia yang bermula pada 24 Februari. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2022.

UKRAINE memerlukan €4 bilion (kira-kira AS$3.97 bilion) bagi mengharungi musim sejuk, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita Interfax-Ukraine pada Selasa.

“Kami memerlukan €4 bilion bagi mengharungi musim sejuk ini—untuk mengubah suai rumah, menyokong penjagaan kesihatan dan bekalan tenaga,” kata Menteri Pembangunan Komuniti dan Wilayah Ukraine Oleksiy Chernyshov pada Persidangan Pakar Antarabangsa mengenai Pemulihan, Pembinaan Semula dan Pemodenan Ukraine di Berlin, Jerman.

Selain itu Ukraine tidak mempunyai peralatan sokongan bagi bekalan air dan kuasa seperti stesen pembersihan air mudah alih, stesen pemanasan mudah alih, penjana diesel dan pemanas elektrik, kata menteri itu.

Ukraine berdepan krisis tenaga menjelang musim sejuk susulan konflik dengan Rusia yang bermula pada 24 Februari.

Pada 18 Oktober Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata serangan Rusia memusnahkan kira-kira 30% stesen janakuasa Ukraine, menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di seluruh negara. – Bernama, 26 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen