Pasangan New Zealand 'hilang' di Iran kini selamat pulang


Penulis blog pelancongan terkenal New Zealand Bridget Thackwray dan Topher Richwhite yang hilang di Iran sejak hampir empat bulan lepas kini sudah selamat pulang ke negara asal hasil daripada rundingan antara Iran dan New Zealand. – Gambar Facebook, 26 Oktober, 2022.

DUA penulis blog pelancongan dari New Zealand yang hilang di Iran sejak hampir empat bulan kini “sihat dan selamat” selepas berjaya keluar dari republik Islam itu berikutan rundingan rahsia antara kedua-dua kerajaan, dedah Wellington pada Rabu.

Pasangan yang baru berkahwin itu, Bridget Thackwray dan Topher Richwhite menyeberang ke Iran dari Turkiye pada awal Julai, apabila hantaran di media sosial mereka mulai tidak kelihatan.

Sejak berbulan-bulan, sebahagian daripada 300,000 peminat pasangan itu menyiarkan mesej bertanyakan tentang keselamatan mereka, namun tanpa balasan. Pada masa sama, kerajaan New Zealand menolak permintaan media untuk mengulas mengenai keberadaan mereka.

Pada Rabu Perdana Menteri Jacinda Ardern mula bersuara apabila mendedahkan pegawai telah “bekerja keras” sejak beberapa bulan untuk “memastikan keselamatan” pasangan itu, yang telah mengalami “keadaan sukar”.

Butiran tepat tentang tempoh pasangan itu di Iran masih tidak jelas.

Pegawai Iran memberitahu AFP pasangan itu tidak ditahan mahupun ditangkap, dan kerajaan New Zealand berhati-hati untuk tidak membayangkan sebarang komen negatif. – AFP, 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen