PRESIDEN Paraguay Mario Abdo Benitez semalam memecat menteri undang-undang kerana membenarkan jasad ketua gerila dibawa masuk ke penjara wanita.
Turut dipecat pengarah penjara terbabit, di mana kakak kepada ketua Tentera Rakyat Paraguay (EPP) Osvaldo Villalba sedang menjalani hukuman di situ.
“Menteri Undang-Undang Edgar Taboada dan pengarah Penjara Good Shepherd telah dipecat,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Benitez.
Villalba, pemimpin EFP yang berfahaman Marxis-Leninis mati dibunuh tentera di timur laut Paraguay pada Ahad.
Jasad Villalba, 39, dibawa ke penjara untuk membolehkan kakaknya Carmen, 50, yang juga pengasas bersama EFP, mengucapkan selamat tinggal.
“Keluarga Villalba datang secara mengejut ke penjara, bersama keranda berisi jasad Villalba,” kata Taboada dalam kenyataan, beberapa jam selepas dipecat, menambah kebenaran diberi atas dasar kemanusiaan.
Menurutnya, jasad Villalba mulanya dibawa tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan penjara terbabit untuk dikebumikan, tetapi kemudian diusung oleh saudara-maranya ke bangunan itu.
Dengan kawalan berpuluh polis antirusuhan, keranda Villalba dibenarkan masuk ke penjara dan Carmen diberi masa lima minit untuk memberi penghormatan terakhir.
Carmen sedang menjalani hukuman penjara 18 tahun kerana menculik anak perempuan bekas presiden Paraguay Raul Cubas pada 2004. – AFP, 26 Oktober, 2022.
Komen