Hannah Yeoh sokong Muda sertai Pakatan


Hannah Yeoh berkata terdapat ruang yang cukup untuk Muda dan parti lain yang berfikiran sama dalam gabungan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) sepatutnya menerima Muda sebagai parti komponen kerana penyokong mahu melihat pembangkang bersatu, kata penyandang ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Menyokong usaha Muda untuk menyertai PH, Yeoh berkata terdapat ruang yang cukup untuk Muda dan parti lain yang berfikiran sama dalam gabungan itu.

“Dalam politik, anda akan sentiasa mempunyai pemain baharu dan saya fikir itu adalah perkara yang baik bagi politik Malaysia.

“Jika kita berkongsi nilai yang sama, kita tidak perlu menjatuhkan satu sama lain hanya kerana Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (presiden Muda) menggunakan logo yang berbeza,” katanya dipetik sebagaimana disiarkan potal berita FreeMalaysiaToday.

Pada 12 Oktober lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, majlis presiden PH memutuskan ia akan dalam bentuk pakatan pilihan raya, bukannya menerima Muda sebagai parti komponen kerana itu memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

PH kemudian menetapkan tiga syarat kepada Muda - ia akan menyokong calon perdana menteri PH, tidak akan menuntut untuk bertanding di kerusi dipegang oleh penyandang PH, dan ia akan mendapat kebenaran Majlis Presiden gabungan itu jika ia mahu bekerjasama dengan parti lain.

Pada Ahad, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata parti itu meminta kurang 15 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang (PRU15).

Beliau berkata perbincangan adalah positif dan 70% (peruntukan kerusi) sudah selesai manakala selebihnya bertindih kerusi.

Hannah, yang berucap pada acara Muda beberapa minggu kebelakangan ini, berkata perkara biasa untuk membincangkan kerusi dalam kalangan gabungan itu tetapi persetujuan mesti dicapai sebelum pilihan raya.

“Ia bukan sahaja mengenai Amanah dan Muda,” katanya. 

“Mari kita bercakap tentang kuota kerusi untuk wanita. Itu pun menjadi pertikaian hangat.”

Hannah juga menggesa golongan muda untuk keluar mengundi dan tidak memberi laluan percuma kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional pada PRU15. – 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen