CALON Perikatan Nasional (PN) di Kedah tidak akan menggunakan lambang PAS sebaliknya memakai logo gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Keputusan itu dibuat oleh pimpinan PN dalam satu mesyuarat semalam, katanya, mengambil kira keadaan komposisi pengundi di Kedah yang lebih pelbagai kaum berbanding Kelantan dan Terengganu.
“Sebenarnya dua negeri sahaja yang guna logo Pas iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Petang tadi (semalam) dalam mesyuarat dipersetujui di Kedah guna logo PN,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.
Laporan itu juga menyebut walaupun rakyat Kedah terutama penyokong PAS menerima penggunaan logo PAS, namun atas alasan kepelbagaian kaum, penggunaan logo PN lebih menarik minat pengundi.
The Malaysian Insight difahamkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PAS Kedah pada Ahad dan kemudian disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Cadangan penggunaan logo PAS bagi semua calon PN di Kedah sebelum ini dibantah oleh Gerakan.
Pengerusi Gerakan Kedah M Marimuthu Selvan berkata logo PAS sukar diterima oleh diterima pengundi bukan Islam di negeri itu.
Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen.
Pengundian pada 19 November di Kedah nanti hanya melibatkan kerusi Parlimen setelah kerajaan pimpinan PAS memutuskan tidak membubarkan dewan undangan negeri sehingga tahun hadapan. – 26 Oktober, 2022.
Komen