India denda Google AS$113 juta kerana sistem bayaran tidak adil


Google sekali lagi dikenakan denda yang tinggi oleh India kerana dakwaan sistem bayarannya yang tidak adil. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2022.

INDIA mendenda Google AS$113 juta pada Selasa kerana dasar pembayaran “tidak adil”, seminggu selepas mengenakan syarikat teknologi itu dengan penalti lebih besar kerana menyalahgunakan penguasaan pasarannya.

Sistem pengendalian mudah alih Android syarikat yang berpangkalan di California itu pemain dominan di India dan berjalan pada 95% daripada semua telefon pintar negara itu, menurut agensi penyelidikan Counterpoint.

Pembangun bebas mengedarkan perisian mereka sendiri pada Android melalui gedung aplikasi syarikat, Google Play, tetapi mesti menggunakan sistem bil Google untuk mengutip hasil daripada pengguna.

Dasar ini merupakan “keadaan tidak adil ke atas pembangun aplikasi”, kata Suruhanjaya Persaingan India (CCI) dalam satu kenyataan ketika mengumumkan denda itu.

Amalan pengebilan “sepihak dan sewenang-wenangnya” Google menyebabkan pembangun “kehilangan pilihan sedia ada untuk menggunakan (a) pemproses pembayaran mengikut pilihan mereka”, tambahnya.

CCI mengarahkan Google membenarkan pembangun aplikasi menggunakan sistem pengebilan pihak ketiga dan melayan perkhidmatan pemprosesan pembayaran saingan dengan adil.

Ia merupakan penalti kewangan kedua yang dikenakan oleh CCI terhadap Google dalam beberapa hari.

Minggu lalu, badan pemerhati itu mendenda Google AS$162 juta selepas memutuskan ia mengkonfigurasi Android untuk menyekat pesaing berpotensi bagi YouTube, Chrome dan aplikasi Google popular yang lain.

Ia juga mengarahkan syarikat itu agar tidak membuat sebarang perjanjian dengan pembuat telefon pintar yang akan menggalakkan mereka hanya menjual peranti berasaskan Android atau menggunakan perisiannya secara eksklusif.

Google menerima keputusan yang sama di Kesatuan Eropah (EU) yang mendapati syarikat itu mengenakan “sekatan yang menyalahi undang-undang” terhadap pembuat telefon pintar untuk memanfaatkan enjin cariannya.

Bulan lalu, mahkamah kedua tertinggi EU mengekalkan denda AS$4.1 bilion terhadap syarikat itu.

Pengawal selia global turut menyusul, dengan Google menghadapi beberapa kes di Amerika Syarikat dan Asia berdasarkan tuduhan yang sama.

India mempunyai bilangan pengguna telefon pintar kedua tertinggi di dunia, selepas China.

Pasaran telefon pintarnya meningkat 27% tahun ke tahun pada 2021, menurut Counterpoint, dengan jualan tahunan melebihi 169 juta unit.

Apple kekal sebagai pemain kecil dalam pasaran yang mementingkan bajet tetapi menyaksikan kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan syarikat itu bulan lepas mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan iPhone 14 secara tempatan. – AFP, 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen