PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) dan Perdana Menteri Britain yang baru dilantik, Rishi Sunak pada Selasa sepakat untuk bekerjasama menyokong Ukraine dan menentang China.
Dua pemimpin itu berhubung buat pertama kali beberapa jam selepas Sunak diangkat jadi perdana menteri Britain, susulan peletakan jawatan pendahulunya Liz Truss pada Khamis lalu.
Truss perdana menteri paling singkat pernah berkhidmat dalam sejarah Britain dengan hanya 44 hari memegang jawatan.
Dalam perbualan telefon pada Selasa, Biden dan Sunak mengesahkan “hubungan istimewa” yang wujud antara AS dan Britain, dan akan bekerjasama untuk meningkatkan keselamatan serta kemakmuran global.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang kepentingan untuk bekerjasama untuk menyokong Ukraine serta memastikan Rusia bertanggungjawab atas pencerobohannya,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan, merujuk kepada pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari.
Kenyataan itu seterusnya menyebut Biden dan Sunak juga sepakat untuk sama-sama menangani cabaran yang dicetuskan China, yang disifatkan Washington sebagai saingan geopolitik dan ekonominya ketika ini.
Terdahulu, Downing Street melaporkan kedua-duanya membincangkan tentang sejauh mana kerjasama United Kingdom-AS, iaitu secara dua hala dan di wilayah seperti Indo-Pasifik, termasuk isu Ireland Utara. – AFP, 26 Oktober, 2022.
Komen