EKONOMI Korea Selatan mempunyai asas “kukuh” dan “penampan mencukupi” yang mampu menghadapi kejutan, kata pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa sekali gus mengetepikan kebimbangan bahawa turun naik pasaran kewangan baru-baru ini boleh menyebabkan berulangnya krisis yang pernah melanda lebih dua dekad lepas, lapor Yonhap.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF Krishna Srinivasan menyuarakan kebimbangannya mengenai tahap hutang negara yang tinggi sambil menekankan pentingnya melaksanakan dasar fiskal yang kukuh untuk jangka sederhana bagi memastikan negara itu tidak lagi membuat pinjaman.
“Korea mempunyai asas ekonomi kukuh dan mengekalkan penampan dan ruang dasar yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap kejutan.
“Anda mempunyai dasar tukaran yang sangat fleksibel… berbanding pada masa lalu. Rangka kerja dasar monetari juga boleh dipercayai,” katanya kepada pemberita di bangunan Bank of Korea (BOK) di Seoul.
Beliau secara khusus menyebut aset asing bersih Korea Selatan sekitar 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta jumlah rizab asingnya hampir tiga kali lebih besar daripada hutang jangka pendeknya mampu menyumbang kepada penampan terhadap kejutan.
Pasaran kewangan Korea Selatan melalui ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah kebimbangan terhadap dasar monetari yang semakin meningkat di Amerika Syarikat dan negara-negara utama lain serta kemungkinan ekonomi global akan mengalami kemelesetan.
Siri kenaikan kadar tinggi BOK sepanjang tahun lalu untuk menurunkan inflasi—gabungan 250 mata asas—juga menambah kebimbangan bahawa ia boleh mengekang secara berlebihan permintaan, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.
Perubahan pasaran baru-baru ini mencetuskan kebimbangan bahawa ekonomi Korea mungkin mengulangi krisis ekonomi yang berlaku pada hujung 1990-an yang memaksa kerajaan Seoul mendapatkan bon jaminan besar-besaran daripada IMF.
“Anda mempunyai metrik makro yang kukuh. Anda mempunyai rangka kerja keputusan dasar yang kukuh,” katanya sambil menambah Korea Selatan mempunyai “perlindungan” yang tidak dimilikinya sebelum ini.
Beliau juga mengunjurkan inflasi negara itu akan memuncak pada hujung tahun ini dan akan kembali kepada julat sasaran bank pusat pada 2% “secara beransur-ansur”. – Bernama, 26 Oktober, 2022.
Komen