BEBERAPA hari ini, kempen Anwar Ibrahim banyak berkisar tentang jawatan menteri walaupun dia sering mengatakan fikir soal perjuangan, bukan jawatan.
Sewaktu berkempen beberapa hari lalu, beliau berkata akan memotong gajinya dan gaji menterinya. Kulit ucapan beliau ini hanyalah untuk membeli jiwa rakyat agar dilihat prihatin kepada masalah rakyat.
.jpg)
Siapa dia nak potong gaji menteri? Hanya PM saja yang boleh lakukan. Maka, dia nak beritahu kepada rakyat bahawa dia akan jadi PM, itu saja.
Selepas kenyataan itu, di Sabah beliau sekali lagi membangkitkan soal jawatan. Beliau berhasrat mahu melantik beberapa orang lagi sebagai timbalan perdana menteri. Isi kepada tawaran ini juga sama. Hanya PM sahaja berkuasa melantik TPM.
Itulah isi mesejnya – “saya akan jadi PM”. Sama.
Bercakap tentang hasrat Anwar mahu melantik beberapa orang sebagai TPM, kita boleh faham akan niat beliau yang mahu meraikan pemimpin politk Sabah dan Sarawak, walaupun pada hakikatnya bukan jawatan ini yang diminta oleh mereka.
Atas dasar itu, saya ingin mencadangkan kepada Anwar untuk melantik salah seorang daripada dua atau tiga timbalan perdana menteri itu dari kalangan kaum Cina atau India. Beliau wajar mempertimbangkan cadangan saya ini kerana beberapa faktor iaitu
i. PKR sememang sebuah parti pelbagai kaum, maka dengan pelantikan salah seorang timbalan perdana menteri dari kalangan kaum Cina atau India, ia akan menjadi satu manifestasi dasar parti beliau yang didukung oleh pelbagai kaum.
ii. Anwar juga amat disanjungi oleh pemimpin semua kaum. Maka, sewajarnya dukungan kumpulan ini, dibalas dengan cara yang setimpal.
iii. Anwar juga menganggap dirinya sebagai ‘bapa’ kepada seluruh bangsa di Malaysia. “Anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Sabah anak saya, anak Sarawak juga anak saya,” katanya. Inilah masa untuk beliau mengotakan segala kata yang selalu beliau ungkapkan.
Saya percaya, jika Anwar bersedia mengumumkan untuk melantik salah seorang timbalan perdana menteri dari kalangan Cina atau India, bermakna beliau telah bersedia menjadi perdana menteri yang ke-10.
Jika tidak, ucapan Anwar ini hanyalah retorik untuk menarik simpati rakyat kepadanya. – 25 Oktober, 2022.
* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen