Permintaan pesawat komersial di Amerika Latin meningkat 2 kali ganda, kata Boeing


Menurut Unjuran Pasaran Komersial Boeing, kumpulan pesawat komersial di rantau Amerika Latin diunjur berkembang lebih 85% dalam tempoh 20 tahun akan datang didorong pengukuhan perjalanan domestik dan wilayah. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2022.

PERMINTAAN untuk pesawat komersial di seluruh Amerika Latin dan rantau Caribbean diunjur meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua dekad akan datang, lapor Sputnik memetik Unjuran Pasaran Komersial (CMO) tahunan Boeing.

“Berikutan perjalanan udara Amerika Latin mengatasi pemulihan global industri, kumpulan pesawat komersial rantau ini diunjur berkembang lebih 85 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang didorong pengukuhan perjalanan domestik dan wilayah.

“Rantau ini berada pada kedudukan yang baik untuk pemulihan yang sihat melangkaui gangguan pasaran jangka pendek,” menurut Boeing dalam siaran akhbar pada Isnin.

CMO memaklumkan rantau Amerika Latin dan Caribbean akan memerlukan 2,240 kapal terbang baharu menjelang 2041 dan lebih 2,000 penghantaran pesawat satu laluan akan meningkat sekali ganda berbanding jumlah pesawat semasa bagi memberi perkhidmatan kepada laluan percutian popular antara Amerika Utara, Mexico dan Caribbean, selain mengembangkan rangkaian dalam wilayah.

“Apabila jumlah pesawat meningkat, permintaan untuk perkhidmatan penerbangan komersial juga akan meningkat mencecah nilai AS$165 bilion sepanjang tempoh unjuran,” menurut CMO.

Lebih separuh penghantaran kapal terbang baharu akan menambah kapasiti dan pertumbuhan keseluruhan dalam penerbangan komersial di seluruh Amerika Latin dengan baki tempahan umtuk menggantikan kapal terbang lama dengan model yang lebih menjimatkan bahan api seperti 737 MAX, 787 Dreamliner dan 777X, menurut Boeing. – Bernama, 25 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen