GERGASI teknologi Amerika Syarikat, Meta, mengesahkan gangguan khidmat pemesejan WhatsApp di seluruh dunia hari ini.
Kata Meta, ia sedang berusaha memulihkan aplikasi popular itu “secepat mungkin”.
“Kami sedar sesetengah orang kini berhadapan masalah untuk hantar mesej. Kami sedang berusaha untuk pulihkan WhatsApp buat semua orang secepat mungkin,” kata jurucakap Meta kepada AFP.
Masalah dengan perkhidmatan yang sangat popular itu dilaporkan oleh laman pemantauan Downdetector dan juga oleh aduan pengguna di media sosial pada pagi tadi.
Downdetector berkata ribuan pengguna WhatsApp telah melaporkan masalah berkenaan.
Pengguna media sosial berkata mereka tidak dapat menyambung ke aplikasi atau menghantar mesej.
Syarikat induk WhatsApp, Meta, juga pernah mengalami gangguan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun lepas. – AFP, 25 Oktober, 2022.
Komen