Bekas menteri kesihatan Jepun dilantik sebagai menteri ekonomi


Bekas menteri kesihatan Shigeyuki Goto akan menyandang jawatan menteri ekonomi lewat Selasa dan bertanggungjawab menyusun pakej ekonomi baharu untuk menangani lonjakan harga dan mengetuai perbahasan belanjawan tambahan. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida pada Selasa melantik bekas menteri kesihatan Shigeyuki Goto sebagai menteri ekonomi bagi menggantikan Daishiro Yamagiwa yang meletak jawatan berikutan hubungannya dengan Unification Church yang kontroversi, lapor Xinhua.

Goto, 66, ahli Parlimen Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah akan menyandang jawatan menteri lewat Selasa dan bertanggungjawab menyusun pakej ekonomi baharu untuk menangani lonjakan harga dan mengetuai perbahasan mengenai pembiayaan belanjawan tambahan.

Kishida berkata Goto, ahli Dewan Rakyat penggal ketujuh yang menyertai Kementerian Kewangan pada 1980, dilantik berdasarkan pengalamannya dalam politik dan kemahirannya sebagai komunikator.       

Goto yang dilantik sebagai menteri kesihatan pada Oktober tahun lepas apabila Kishida membentuk Kabinetnya berkata beliau akan bekerja keras untuk menangani kenaikan harga serta kelemahan yen yang meningkatkan lagi kos.

Peletakan jawatan Yamagiwa sehari sebelumnya merupakan peletakan jawatan pertama anggota Kabinet di bawah Kishida.

Yamagiwa berhadapan tekanan hebat daripada orang ramai dan parti pembangkang yang mahu beliau  berundur setelah dikaitkan dengan Unification Church.

Beliau yang beberapa kali menafikan hubungannya dengan organisasi itu mendakwa tidak ingat pertemuan-pertemuan tertentu termasuk dengan ketua gereja.

Sebulan sebelum itu, LDP mengarahkan memutuskan semua hubungan dengan Unification Church atau secara rasminya dikenali sebagai Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia setelah siasatan dalaman LDP pada September mendapati kira-kira separuh anggota Kabinet mempunyai hubungan dengan gereja berkenaan.

Ketika sokongan ke atas kabinetnya semakin merosot, Kishida mengarahkan menteri kebudayaannya Keiko Nagaoka menjalankan siasatan terhadap gereja berkenaan berdasarkan “hak untuk bertanya soalan” di bawah Akta Perbadanan Agama, awal bulan ini.

Ia merupakan siasatan pertama kerajaan menggunakan hak itu dan panel pakar akan bersidang pada Selasa untuk membincangkan beberapa isu berkaitan “hak untuk bertanya soalan.”

Unification Church juga didakwa telah memaksa pengikutnya membuat derma yang terlalu tinggi menyebabkan sebahagian mereka berhadapan masalah kewangan. – Bernama, 25 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen