Surat terbuka kepada PKR: Benarkan ahli Parlimen Wanita pertahan kerusi mereka 


KAMI mengalu-alukan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PKR akan meletakkan 30% calon wanita untuk bertanding pada PRU 15. Namun kami yang mewakili Gerakan-gerakan Masyarakat  Sivil (CSO) yang disebutkan di bawah, ingin meluahkan rasa bimbang terhadap satu laporan berita baru-baru ini yang diterbitkan pada 20 Oktober 2022 oleh The Vibes, yang tanpa  menamakan sumber, telah memetik kenyataan daripada beberapa ahli PKR yang mengatakan bahawa parti tersebut kemungkinan akan mengurangkan bilangan calon wanitanya, meskipun sudah berjanji sebaliknya. 

Artikel tersebut menyebut nama beberapa penyandang kerusi Parlimen seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail, Maria Chin Abdullah, Tan Yee Kew dan June Leow Hsiad  Hui, sebagai nama yang dikhabarkan akan digantikan oleh calon lelaki. 

Kak Wan merupakan seorang tokoh utama dalam politik Malaysia, iaitu seorang yang telah memimpin PKR, gabungan parti-parti pembangkang dan gerakan reformasi ketika ia  menghadapi detik-detik paling mencabar dalam sejarahnya. 

Beliau juga merupakan timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia dan bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. 

Pengalaman dan pandangan beliau adalah tidak ternilai dan tidak sepatutnya diabaikan pada masa yang genting dalam politik Malaysia. 

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk beliau meninggalkan dunia politik kerana peranannya dalam politik Malaysia tiada tandingnya. Kak Wan kekal sebagai calon yang kuat, seorang yang menjadi simbol harapan dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. 

Beliau terus mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia dan bakal menjadi suara penting ketika kita menghadapi ‘ibu segala pilihan raya’. 

Satu lagi nama yang disebut dalam artikel The Vibes adalah Maria Chin Abdullah, bekas pengerusi Bersih dan pemimpin yang terkenal dalam kalangan aktivis wanita dan hak asasi manusia di Malaysia. 

Sebagai ahli Parlimen Petaling Jaya, beliau mempunyai rekod prestasi yang terbukti dan telah giat memperjuangkan dan menyuarakan isu-isu seperti pembaharuan institusi dan undang-undang, hak asasi manusia, kemiskinan, diskriminasi jantina dan isu wanita. 

Sebagai ahli Parlimen, beliau telah mengumpul dan menyatukan sokongan daripada kalangan CSO bagi memperjuangkan isu-isu tersebut dan telah menyediakan kami satu platform bagi mencari ruang persefahaman antara ahli Parlimen dan aktivis semasa Parlimen ke-14. 

Pergerakan Masyarakat Sivil masih memerlukan lebih ramai aktivis seperti Maria di Dewan Rakyat. Perubahan yang telah kita bawa setakat ini, walaupun penting, amat sedikit jika  dibandingkan dengan kerja dihadapan kami.

Artikel The Vibes juga menyatakan bahawa terdapat calon wanita baru yang sedang dipertimbangkan untuk kerusi Parlimen, namun mereka akan diberi kerusi-kerusi yang sukar untuk dimenangi. 

Hanya terdapat 84 wanita yang berjaya ke Dewan Rakyat sejak penubuhannya pada tahun 1959. Parlimen ke-14 telah menyaksikan hanya 14.86% perwakilan wanita. Wanita kekal kurang diwakili dalam politik walaupun hampir separuh penduduk Malaysia adalah wanita.

Walaupun terdapat pengecualian, bagi kebanyakan wanita Malaysia, tidak kiralah betapa gigihnya mereka bekerja dan berapa banyak pengorbanan mereka, sistem yang sedia ada  tidak menyebelahi mereka. Kita tidak mahu suara mereka hilang dan keazaman mereka  untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, terpadam dan dilupakan. 

Kepentingan meningkatkan bilangan perwakilan wanita di Parlimen tidak boleh dinafikan. Ia merupakan satu fakta yang jelas terbukti dan terdapat banyak contoh dari seluruh dunia. 

Mesipun kandungan artikel ini boleh diketepikan sebagai khabar angin semata-mata, ia telah membangkitkan keresahkan dan sedikit sebanyak melemahkan semangat dan kepercayaan kami bahawa PKR dan Harapan akan menggerakkan gelombang perubahan untuk meningkatkan perwakilan wanita pada pilihan raya akan datang ini. 

Tanggapan sedemikian tidak boleh diterima oleh kebanyakan kami kerana kesaksamaan gender adalah satu tonggak utama dalam agenda reformasi.  

Oleh itu, kami ingin menggesa PKR agar mempertimbangkan rayuan kami untuk membenarkan mantan ahli Parlimen wanita Parlimen ke-14 menyandang kerusi mereka agar dapat meneruskan tugas politik mereka dan membuka jalan kepada lebih ramai perwakilan wanita dalam dunia politik.– 25 Oktober, 2022.


* Surat terbuka kepada PKR ini ditandatangani oleh 263 Residen PJ, sukarelawan @P105, aktivis, dan masyarakat sivil. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen