TIGA rakyat Palestin terbunuh dan hampir 20 yang lain cedera dalam satu serbuan awal pagi tadi dilancarkan tentera Israel di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
“Tiga terkorban dan 19 cedera, tiga parah, akibat tembakan Israel di Nablus,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas, merujuk kepada bandar yang diceroboh Israel di Tebing Barat.
Tentera Israel belum memberikan komen.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa keganasan terhadap rakyat Palestin dihentikan di Nablus.
Dalam beberapa minggu terakhir ini, sekumpulan pejuang muda Palestin – ada yang dikatkan dengan kumpulan besar seperti Fatah, Hamas dan Islamic Jihad – melakukan operasi anti Israel dari Nablus.
Kumpulan baharu itu, digelar Areen al-Ossoud mendakwa bertanggungjawab atas serangan yang menyebabkan kematian tentera Israel, dua minggu lalu.
Ketua mereka sebelum ini Ibrahim al-Nabulsi yang digelar “Singa Nablus”, diketahui mengumpulkan kumpula belia ini, sebelum beliau ditembak mati tentera Israel pada Ogos. Sejak itu beliau dijulang sebagai hero bagi Palestin di media sosial.
Akibatnya, tentera Israel mengetatkan cengkamannya di Nablus, kerap menggunakan dron pemerhatian dan mengimbas identiti indvidu yang keluar masuk di bandar itu. – AFP, 25 Oktober, 2022.
Komen