DUA terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di St. Louis, Amerika Syarikat (AS) semalam, kata polis.
Suspek kemudian ditembak mati oleh polis yang bergegas ke lokasi iaitu Sekolah Menengah Visual dan Seni Persembahan, kata ketua polis St. Louis Mike Sack.
Sack berkata suspek berusia kira-kira 20 tahun dan identitinya masih belum dikenal pasti.
Katanya, seorang wanita dan remaja perempuan terbunuh dalam insiden itu.
Sack berkata polis tiba di sekolah dalam tempoh beberapa minit selepas menerima laporan berlaku tembakan di situ.
Pada Mei, seorang remaja lelaki menembak 19 kanak-kanak dan dua guru di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Michigan semalam kerana menembak mati empat rakan sekelasnya tahun lalu menggunakan senjata yang dibeli sebagai hadiah daripada bapanya. – AFP, 25 Oktober, 2022.
Komen