SEORANG wartawan terkenal Pakistan ditembak mati oleh poleh di Kenya selepas beliau melarikan diri dari negara asalnya bagi mengelak didakwa atas tuduhan hasutan, kata penyiasat.
Arshad Sharif, 49, pengkritik lantang terhadap kuasa tentera Pakistan dan penyokong bekas perdana menteri Imran Khan, yang digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen pada April.
Dalam perbualan menerusi telefon dengan Presiden Kenya William Ruto, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mohon siasatan telus dijalankan terhadap insiden yang berlaku tengah malam Ahad lalu.
Jurucakap polis Kenya Bruno Shioso berkata wartawan terbabit cedera parah akibat ditembak polis selepas kereta dipandunya merempuh sekatan polis di kawasan Magadi, kira-kira 40km dari Nairobi.
Katanya, mangsa berada bersama seorang lelaki di dalam kereta itu, dikenali sebagai Khurram Ahmed.
Pembunuhan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan media dan protes diadakan di Karachi, Pakistan.
Menurut laporan polis, kereta dinaiki dua lelaki itu ditembak dengan sembilan peluru, tetapi mangsa dapat meneruskan perjalanan hingga tiba ke rumah seorang lagi warga Pakistan.
Sharif kemudian didapati mati dengan kesan cedera tembakan di kepala. – AFP, 25 Oktober, 2022.
Komen