MODUL eksperimen kedua stesen angkasa China, Mengtian bakal dilancarkan bulan ini mengikut pelan pembinaan stesen angkasa lepas China.
Pelbagai persiapan dan ujian berkaitan sedang dilaksanakan untuk memastikan tugasan pembinaan stesen angkasa dapat diselesaikan mengikut jadual.
Kru kapal angkasa Shenzhou-14 yang terdiri tiga angkasawan menjalankan penyelenggaraan terhadap kompleks stesen angkasa sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan modul eksperimen Mengtian.
Kini ketiga-tiga angkawasan itu sudah berada di ruang angkasa lepas selama lebih empat bulan dan keadaan fizikal serta mental angkasawan dalam keadaan baik.
Pada masa sama ujian bagi dua roket pembawa dan dua modul yang mengendalikan pelancaran Mengtian dan kapal kargo Tianzhou-5 turut dijalankan serentak di tapak pelancaran Wenchang, provinsi Hainan.
Komander di tapak pelancaran modul eksperimen Mengtian Liao Guorui berkata roket pembawa Long March 5B Yao-4 telah melengkapkan ujian subsistem dan dua pemeriksaan am peringkat awal.
Sementara pemeriksaan am bersama modul dan roket akan diselesaikan pada fasa seterusnya.
Buat masa ini, persiapan bagi pelancaran dan kitar semula kapal angkasa sedang dijalankan di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di provinsi Gansu manakala misi pelancaran kapal angkasa Shenzhou-15 telah memasuki fasa persediaan menyeluruh.
Difahamkan sistem telemetri, pengesanan dan perintah (TT&C) dan komunikasi beroperasi sepanjang masa untuk memastikan kestabilan dan keselamatan operasi stesen angkasa.
Kru Shenzhou-15 sedang mempergiat latihan berkenaan dan pelbagai eksperimen saintifik di ruang angkasa berjalan lancar. – Bernama, 24 Oktober, 2022.
Komen